Malaysia catat lebihan akaun semasa tertinggi selepas 9 tahun | DagangNews Skip to main content

Malaysia catat lebihan akaun semasa tertinggi selepas 9 tahun

Malaysia

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 11 Feb. - Akan semasa Malaysia terus mencatatkan lebihan sebanyak RM19.0 bilion pada suku akhir 2020.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, lebihan akaun semasa pada suku tersebut terutamanya didorong oleh eksport bersih barangan yang lebih tinggi pada RM42.9 bilion. 

 

"Eksport barangan yang menyumbang 91.4% kepada keseluruhan eksport Malaysia mencatatkan RM217.5 bilion daripada RM204.9 bilion pada suku sebelumnya.

 

"Peningkatan ini disokong oleh eksport produk berasaskan minyak sawit, getah dan kimia terutamanya ke China, Singapura dan AS.

 

"Import barangan turut melonjak 6.9% kepada RM174.6 bilion berbanding suku sebelumnya. Import yang lebih tinggi disumbangkan oleh kenaikan barangan perantaraan, modal dan penggunaan terutamanya dari China, Singapura dan Jepun," katanya dalam laporan Statistik Imbangan Pembayaran Suku Tahun Keempat dan Tahunan 2020 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

 

Lebihan akaun semasa pada suku akhir 2020 juga didorong oleh defisit yang lebih rendah dalam pendapatan premer.

 

Defisit bersih pendapatan primer berkurang kepada RM7.1 bilion berbanding RM9.2 bilion pada suku ketiga tahun 2020.

 

 Mohd. Uzir Mahidin
 Mohd. Uzir Mahidin

 

Syarikat Malaysia di luar negeri memperoleh pendapatan lebih tinggi sebanyak RM14.6 bilion, peningkatan sebanyak 28.5% daripada suku sebelumnya.

 

Syarikat yang beroperasi di Indonesia dan AS merupakan penyumbang utama khususnya dalam sektor kewangan, pembuatan dan maklumat & komunikasi.

 

Sementara itu, syarikat asing di Malaysia turut memperoleh pendapatan lebih tinggi sebanyak RM21.7 bilion terutamanya daripada sektor pembuatan dan kewangan.

 

Bagaimanapun, perkhidmatan mencatatkan defisit yang lebih tinggi sebanyak RM14.2 bilion berbanding suku sebelumnya pada tahun 2020 disebabkan oleh pengangkutan, pembinaan dan perjalanan.

 

Kedua-dua eksport dan import perkhidmatan masing-masing meningkat sebanyak RM0.7 bilion dan RM1.7 bilion untuk merekodkan RM20.5 bilion dan RM34.7 bilion.

 

"Akaun kewangan pada suku ini mencatatkan aliran keluar yang lebih rendah RM10.8 bilion berbanding RM35.2 bilion pada suku lalu disebabkan oleh aliran keluar yang lebih rendah pada pelaburan portfolio dan pelaburan lain.

 

"Pelaburan langsung asing (FDI) berubah arah aliran kepada aliran masuk RM6.1 bilion daripada aliran keluar RM0.8 bilion pada suku sebelumnya disebabkan oleh suntikan ekuti dan instrumen hutang yang lebih tinggi.

 

"Aliran masuk FDI terutamanya disalurkan ke sektor pembuatan, kewangan dan perdagangan dorong & runcit terutamanya dari Thailand, Jepun dan Singapura," tambah beliau.

 

Sementara itu, Pelaburan langsung di luar negeri (DIA) oleh pelabur Malaysia mencatatkan aliran keluar bersih RM5.4 bilion berbanding RM2.2 bilion pada suku sebelumnya.

 

Hal tersebut disebabkan oleh pelaburan ekuiti yang lebih tinggi di luar negara dan keuntungan dilabur semula pada suku tersebut.

 

Kewangan, maklumat & komunikasi dan pembuatan adalah sektor utama untuk DIA sementara destinasi utama adalah Indonesia, Kanada dan Singapura.

 

Katanya lagi, secara tahunan dalam tempoh COVID-19 pada 2020, Malaysia masih berjaya mencatatkan lebihan akaun semasa yang menggalakkan disokong oleh eksport bersih barangan iaitu RM139.1 bilion. - DagangNews.com