Malaysia catat perdagangan perkhidmatan RM336.9 bilion pada 2022 disokong daya tahan komponen perjalanan – DOSM | DagangNews Skip to main content

Malaysia catat perdagangan perkhidmatan RM336.9 bilion pada 2022 disokong daya tahan komponen perjalanan – DOSM

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Jun - Jumlah perdagangan perkhidmatan Malaysia berjumlah RM336.9 bilion pada 2022, menyumbang 18.8% kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK pada harga semasa), kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Menurut laporan Statistik Perdagangan Perkhidmatan Antarabangsa (SITS) 2022 dikeluarkan DOSM hari ini, defisit dalam perdagangan perkhidmatan mengecil kepada RM56.4 bilion berbanding tahun sebelumnya disokong oleh prestasi berdaya tahan pada komponen perjalanan.

 

“Defisit yang lebih rendah dalam perdagangan perkhidmatan Malaysia berbanding tahun sebelumnya masih lebih tinggi daripada paras sebelum pandemik sebanyak RM10.9 bilion pada 2019.

 

“Terdapat peningkatan ketara dalam eksport perkhidmatan berbanding import pada 2022 iaitu peningkatan daripada RM88.1 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM140.3 bilion,” katanya

 

Sementara itu, import perkhidmatan meningkat kepada RM196.7 bilion pada 2022 daripada RM153.7 bilion tahun sebelumnya.

 

Menurut DOSM, perjalanan yang menjadi komponen utama bagi sektor perkhidmatan Malaysia sebelum pandemik, kembali pulih pada 2022 dengan memainkan peranan penting dalam memacu prestasi perdagangan perkhidmatan negara.

 

 

dosm

 

 

Jelasnya, eksport komponen ini menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang menggalakkan dengan mencatatkan RM28.4 bilion, peningkatan ketara berbanding RM300 juta dalam tahun sebelumnya.

 

Pada masa yang sama, import perjalanan juga menunjukkan trend peningkatan, mencapai RM29.5 bilion berbanding RM15.2 bilion pada tahun sebelumnya.

 

Bagaimanapun, nilai eksport dan import masih rendah berbanding kemuncak sebelum pandemik iaitu masing-masing sebanyak RM82.1 bilion dan RM51.3 bilion pada 2019 meskipun terdapat pertumbuhan positif.

 

"Oleh kerana pertumbuhan eksport lebih laju berbanding import, perjalanan mencatatkan defisit yang lebih rendah iaitu RM1.2 bilion berbanding RM14.9 bilion pada 2021,” tambahnya.

 

Di samping itu, perkhidmatan pembuatan bagi input fizikal yang dimiliki oleh pihak lain juga menyumbang kepada pengurangan defisit dalam perdagangan perkhidmatan.

 

“Komponen ini mencapai lebihan sebanyak RM16.3 bilion, jumlah tertinggi yang pernah dicatatkan dalam tempoh sepuluh tahun lepas. Eksport komponen ini bernilai RM20.1 bilion, manakala import sebanyak RM3.9 bilion,” jelasnya.

 

Sementara itu, Jabatan Perangkaan berkata Amerika Syarikat (AS) muncul sebagai destinasi utama bagi perdagangan perkhidmatan Malaysia pada 2022, di mana eksport ke negara itu bernilai RM36.7 bilion dan import RM56.6 bilion, masing-masing meningkat 34.9% dan 55.8% tahun ke tahun. - DagangNews.com