Malaysia destinasi pelaburan terbaik - MITI | DagangNews Skip to main content

Malaysia destinasi pelaburan terbaik - MITI

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Jan - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kekal fokus mencari peluang dalam bidang pertumbuhan baharu, menjalin kerjasama lebih erat bersama industri bagi meningkatkan kemahiran serta menarik lebih banyak pelaburan strategik dalam usaha mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan asing paling menarik.

 

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, laporan Indeks Peluang Global (GIO) Milken Institute 2022 yang meletakkan Malaysia sebagai negara paling menarik bagi pelaburan asing di Asia Tenggara mencerminkan kejayaan usaha besar MITI melaksanakan dasar bagi memastikan bakat tersedia selain mewujudkan pekerjaan untuk ekonomi.

 

Beliau berkata, laporan itu menjelaskan Malaysia mengambil langkah melonggarkan sekatan dan menggubal dasar untuk memanfaatkan pembangunan perdagangan, sekali gus membantu negara berada di kedudukan pertama dalam indeks berkenaan.

 

Jelasnya, langkah sedemikian menjadi pencetus untuk membawa negara ke aras pertambahan inovasi, penciptaan pekerjaan dan daya saing global.

 

"Ini dicerminkan oleh komitmen kita mengukuhkan rangka kerja institusi dan memperdalamkan integrasi serantau menerusi perjanjian perdagangan bebas (FTA) mega seperti Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang akan diratifikasi tidak lama lagi.

 

"MITI akan meneruskan usaha memacu pertumbuhan Malaysia yang mantap dan mampan, disokong ekonomi bebas dengan dasar mesra perniagaan serta pragmatik menghasilkan iklim pelaburan menarik dan kondusif," katanya dalam satu kenyataan.

 

Laporan GIO menyaksikan Malaysia mengatasi negara Asia Tenggara baharu muncul lain untuk dinamakan sebagai destinasi pelaburan asing paling menarik di rantau ini.

 

Berdasarkan indeks itu, Malaysia mendapat kedudukan paling tinggi di rantau ini disebabkan prestasinya kukuh merentasi semua kategori yang diukur.

 

Malaysia, Thailand dan Indonesia menduduki tempat teratas di Asia Tenggara yang baharu muncul, manakala Vietnam dan Filipina melengkapkan lima negara teratas di Asia Tenggara baharu muncul, mengikut susunan indeks.

 

Azmin berkata, pencapaian itu bukti kepada keazaman, komitmen dan daya proaktif kerajaan membantunkan dasar mantap serta secara berterusan memacu pembaharuan domestik yang akhirnya melonjakkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan, lapor Berita Harian.

 

"Ia jelas membuktikan keyakinan kukuh pelabur asing terhadap ekosistem perniagaan kita yang tangkas dan ekonominya yang bertenaga," katanya. - DagangNews.com