Malaysia dilanda jerebu lagi? | DagangNews Skip to main content

Malaysia dilanda jerebu lagi?

Oleh Mogesh Sababathy

TAHAP kualiti udara yang tidak sihat baru-baru ini di negara kita mengingatkan semula krisis jerebu tahun 2015, sehingga diisytiharkan darurat, menyebabkan penutupan sekolah, pejabat kerajaan, pelabuhan dan pembatalan penerbangan.

 

Sebuah kajian pada tahun 2016 menunjukkan bahawa jerebu rentas sempadan yang berlaku pada tahun 2015 ini telah menyebabkan lebih daripada 100,000 kematian di Indonesia, Malaysia, dan Singapura.

 

Ia seolah-olah kita sedang mengalami semula sejarah pahit ini apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) sekali lagi mencapai tahap yang tidak sihat, dan kesan pencemaran udara terhadap kesihatan kita, terutamanya kanak-kanak, tidak boleh diabaikan.

 

Udara bersih bukanlah suatu kemewahan tetapi hak asasi yang layak diterima oleh setiap kanak-kanak. Kualiti udara yang buruk, sama ada disebabkan oleh sumber tempatan atau jerebu rentas sempadan, mempunyai implikasi yang teruk kepada kesihatan dan masa depan anak-anak kita.

 

Adalah menjadi hak setiap kanak-kanak dan belia di Malaysia untuk menghirup udara yang tidak menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan mereka. Ia adalah sebuah ancaman senyap kepada anak-anak kita dan ia terbukti secara saintifik bahawa udara tercemar berupaya untuk menyusup ke dalam badan, menjejaskan perkembangan paru-paru dan berpotensi membawa kepada penyakit pernafasan kronik, manakala unsur neurotoksik boleh menghalang pertumbuhan kognitif.

 

Kes-kes penyakit pernafasan yang semakin meningkat dalam kalangan belia juga merupakan bukti kepada kesan buruk pencemaran udara, khususnya kanak-kanak yang terdedah pada risiko yang lebih tinggi. Hal ini boleh menyebabkan kemerosotan kualiti kehidupan mereka seterusnya membebankan sistem kesihatan di negara kita.

 

 

parafrasa

 

 

Menurut laporan Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO), setiap hari kira-kira 93% daripada kanak-kanak di bawah usia 15 tahun di dunia (1.8 billion kanak-kanak) menghirup udara yang sangat tercemar yang membahayakan kesihatan dan perkembangan mereka.

 

UNICEF Malaysia, dalam satu artikel, menyatakan bahawa kanak-kanak adalah lebih rentan kepada kesan pencemaran udara kerana paru-paru, otak, pertahanan fizikal, dan sistem imun mereka belum sepenuhnya berkembang. Mereka juga bernafas dengan kadar yang lebih laju daripada orang dewasa, seterusnya menghirup jumlah pencemar yang lebih tinggi.

 

Pendedahan kepada pencemaran udara telah dikaitkan dengan kesan kesihatan yang buruk kepada kanak-kanak, termasuk fungsi paru-paru yang berkurangan, jangkitan pernafasan, asma, dan juga kematian pramatang. Pencemaran udara adalah ancaman utama, boleh dicegah dan terurus kepada kesihatan, kesejahteraan, dan pemenuhan pembangunan mampan rakyat.

 

Selain itu, adalah penting untuk menyedari bahawa isu kualiti udara melangkaui kesihatan fizikal. Udara yang tercemar menyekat aktiviti luar kanak-kanak dan menghalang akses mereka kepada pendidikan berkualiti. Selalunya, ini memburukkan lagi ketidaksamaan masyarakat yang sedia ada, memberi kesan yang tidak seimbang kepada komuniti yang paling terdedah di negara kita.

 

Sebuah laporan media baru-baru ini melaporkan bahawa Indonesia, Malaysia dan Singapura bakal menghadapi krisis jerebu terburuk dalam tempoh lima tahun, disebabkan El Niño, sebuah fenomena membabitkan perubahan tekanan atmosfera dan suhu lautan terutama di Lautan Pasifik, yang boleh menyebabkan cuaca lebih panas dan kering di Asia Tenggara, meningkatkan lagi risiko kebakaran akhirnya menyebabkan jerebu merentas sempadan yang teruk.

 

Tidak ada gunanya jika terus menuding jari kepada pihak lain, apa yang lebih penting adalah untuk memberi tumpuan kepada penyelesaian yang proaktif serta efisien untuk menghadapi isu yang semakin serius ini. Kerajaan Malaysia khususnya mempunyai peranan penting dalam memastikan udara bersih untuk rakyat di negara ini terutamanya golongan kanak-kanak yang mempunyai risiko yang lebih tinggi terhadap kesan kemerosotan kualiti udara.

 

Ini termasuklah meningkatkan standard kualiti udara dan menguatkuasakan peraturan yang lebih ketat untuk membendung pelepasan daripada pelbagai sumber, termasuk industri, pengangkutan dan pertanian. Selain itu, peralihan ke arah sumber tenaga boleh diperbaharui bukan sahaja akan mengurangkan pencemaran udara tetapi juga menyumbang kepada Malaysia yang lebih mampan dan berdaya tahan.

 

 

parafrasa

 

 

Insentif kerajaan dan sokongan untuk inisiatif tenaga bersih boleh membuka jalan untuk masa depan yang lebih hijau. Akhir sekali, inisiatif untuk mendidik orang ramai tentang kepentingan udara bersih dan kesannya terhadap kesihatan kanak-kanak juga boleh membawa kepada sokongan yang lebih besar untuk dasar udara bersih dan tindakan individu untuk mengurangkan pencemaran.

 

Disamping itu, anak-anak muda juga perlu memainkan peranan penting dalam memacu perubahan dan membantu pihak kerajaan untuk mewujudkan persekitaran yang lebih bersih misalnya dengan mempergiatkan kegiatan advokasi dan inisiatif komuniti untuk mendidik lebih ramai golongan muda terhadap bahayanya kemerosotan kualiti alam sekitar dan peranan mereka dalam menangani isu ini.

 

Mereka juga boleh mengamalkan amalan mesra alam dalam kehidupan seharian, seperti mengurangkan penggunaan tenaga, membiasakan amalan pengurangan sisa, dan menggunakan pengangkutan awam. Tidak dinafikan juga bahawa belia mempunyai perspektif dan kreativiti yang unik untuk membangunkan penyelesaian yang inovatif. Mereka boleh menyalurkan kemahiran ini untuk menghasilkan penyelesaian teknologi yang mampu menangani pelbagai isu alam sekitar termasuk pencemaran udara.

 

Dalam tempoh yang tidak menentu ini, adalah penting untuk sentiasa memantau laporan kualiti udara, terutama semasa tempoh jerebu, untuk membuat keputusan yang termaklum tentang aktiviti luar, terutamanya bagi kanak-kanak dan individu dengan penyakit pernafasan.

 

Gunakan penapis udara di dalam rumah dan pastikan tingkap ditutup rapat. Pastikan akses kepada ubat-ubatan dan penjagaan perubatan yang diperlukan untuk kanak-kanak dan individu yang mempunyai penyakit pernafasan sedia ada atau sistem imun yang terjejas. IPU, digunakan untuk menilai kualiti udara yang mana indeks di antara 0 hingga 50 adalah baik atau sihat, kurang sihat apabila melebihi 50, dan dianggap tidak sihat sekiranya melebihi 150.

 

Ayuh bertindak sekarang, bersama-sama membangunkan Malaysia MADANI yang lebih sejahtera, berdaya huni dan mampan.  - DagangNews.com

 

Mogesh Sababathy adalah Aktivis Belia Alam Sekitar; Juara Iklim Belia, UNICEF Malaysia dan Pelajar Ijazah Kedoktoran, Universiti Putra Malaysia (UPM)