Malaysia dilapor teruskan projek HSR tanpa Singapura | DagangNews Skip to main content

Malaysia dilapor teruskan projek HSR tanpa Singapura

 

KUALA LUMPUR 14 Dis. - Malaysia dilaporkan bakal meneruskan projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) tanpa melibatkan Singapura. 

 

Projek itu dikatakan bakal dibina setakat negeri Johor, berbanding sebelum ini dihubungkan terus ke negara jiran berkenaan. 

 

Menerusi perkembangan itu, Malaysia didakwa akan membayar pampasan bernilai RM300 juta kepada Singapura, menurut laporan Malaysian Insight yang memetik sumber.

 

Pelaksanaan projek yang mula dicadangkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) telah ditangguh sebanyak dua kali apabila pemerintahan negara diambil alih.

 

Ditandatangani pada Disember 2016, projek HSR pada asalnya dirancang menghubungkan Malaysia dan Singapura sepanjang 350km. 

 

Laluan yang dijangka berdurasi 90 minit itu menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura.

 

Projek itu berdepan cabaran pertama apabila Perdana Menteri di bawah kepimpinan Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahahir Mohamad berhasrat untuk mengkaji semula kos perbelanjaannya. 

 

Pada Jun lalu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan kedua-dua negara bersetuju untuk memanjangkan penangguhan projek itu kepada 31 Disember tahun ini. 

 

Sekiranya tidak dilanjutkan, Malaysia perlu membayar pampasan sebanyak RM500 juta kepada Singapura, ketika itu. 

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November lalu juga mengumumkan kerajaan berhasrat untuk meneruskan projek HSR sebagai langkah menjana kesan pengganda positif terhadap ekonomi Malaysia.

 

Pada 2 Disember lalu, kedua-dua pemimpin Malaysia dan Singapura, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Lee Hsien Loong sekali lagi berbincang mengenai tarikh penangguhan projek itu.

 

Ketika laporan ditulis, DagangNews.com masih lagi cuba untuk mendapatkan penjelasan daripada Kementerian Pengangkutan berhubung laporan berkenaan. - DagangNews.com