Malaysia, Indonesia muktamad MoU Pengambilan dan Penempatan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) | DagangNews Skip to main content

Malaysia, Indonesia muktamad MoU Pengambilan dan Penempatan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI)

Datuk Seri M. Saravanan mengadakan pertemuan dengan Ida Fauziyah di Jakarta, Indonesia hari ini
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 24 Jan - Kerajaan Malaysia dan Indonesia bersetuju memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung Pengambilan dan Penempatan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) pada 7 dan 8 Februari depan di Bali, Indonesia.

 

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, MoU induk telah dipersetujui termasuklah isu-isu utama seperti One Maid One House, One Channel System dan gaji PDI. 

 

Beliau mengadakan pertemuan dengan, Menteri Ketenagakerjaan Republik Indonesia, Ida Fauziyah di Jakarta hari ini.

 

"Kami bersetuju agar MoU ditandatangani pada 7 dan 8 Februari 2022 di Bali sebagaimana telah dibincangkan terdahulu.

 

"Perbincangan berhubung One Maid One House telah dipersetujui untuk menggantikan cadangan One Maid One Task, di mana satu PDI boleh digajikan bagi isi rumah tidak melebihi enam orang. 

 

 

sara

 

 

"Manakala, One Channel System telah dipersetujui oleh kedua pihak sebagai saluran tunggal kemasukan PDI ke Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut Saravanan, isu berhubung struktur kos pengambilan akan dikaji setiap enam bulan bagi memastikan seiring dengan perkembangan semasa dengan mengambil kira kos penerbangan dan kuarantin.

 

Beliau berkata, Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk projek rintis pengambilan sejumlah 10,000 PDI dan dijangka akan dilaksanakan dalam masa seminggu selepas MOU ditandatangani. 

 

 

sara

 

 

"Projek rintis ini amat penting dan signifikan untuk menilai keberkesanan pelaksanaan MOU dan seterusnya menambah baik sebarang kelemahan yang timbul. Di samping itu, pihak Indonesia bersetuju membenarkan kemasukan 10,000 tenaga kerja warga Indonesia untuk sektor perladangan," katanya.

 

Katanya, ini sebagai permulaan kepada pengambilan 32,000 pekerja warga asing dalam sektor perladangan secara pengecualian khas sebagaimana keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 April tahun lepas. - DagangNews.com