Malaysia jadi 'Nanny State' sekiranya penjualan rokok, vape diharamkan kepada individu lahir selepas 2005 | DagangNews Skip to main content

Malaysia jadi 'Nanny State' sekiranya penjualan rokok, vape diharamkan kepada individu lahir selepas 2005

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Jun - Malaysia akan berubah menjadi ‘Nanny State’ sekiranya cadangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai pengharaman penjualan rokok serta produk vape kepada individu yang lahir selepas 2005 diluluskan dan pada masa sama akan memberi kesan kepada ekonomi negara. 

 

Kolumnis Perundangan, R. Paneir Selvam berkata, polisi itu sekiranya diluluskan dilihat hanya terlalu melindungi serta mengganggu pilihan peribadi rakyat dan ia dilihat menyamai peranan pengasuh dalam membesarkan anak.

 

Beliau percaya, amat penting untuk pengguna diberi ruang untuk memilih kerana peranan negara untuk mendidik rakyatnya dalam keputusan yang terbaik.

 

"Pengguna sedia maklum mengenai maklumat yang boleh mempengaruhi keputusan mereka. Mereka tahu apa yang mereka mahu. Ia adalah hak asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan dan pemerintah tidak mempunyai kuasa untuk mengganggu keputusan peribadi sesiapa di Malaysia.

 

“Daripada menghasilkan perundangan yang tidak produktif, kerajaan harus menumpukan kepada mewujudkan dasar dan undang-undang yang boleh membantu dalam meningkatkan penawaran pekerjaan dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi serta mengemudi negara untuk menarik pelaburan langsung asing ke dalam negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Selvam berkata, tinjauan pendapat yang dijalankan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) baru-baru ini seharusnya dilihat sebagai amaran terhadap pelaksanaan undang-undang seperti itu.

 

paneir
R. Paneir Selvam

 

Tinjauan mendapati majoriti responden bersetuju bahawa larangan itu harus merangkumi industri lain seperti alkohol, perjudian, bar, kelab malam, pusat karaoke dan minuman manis.

 

“Jelas sekali, larangan generasi penamat ini akan mewujudkan ‘cerun yang licin’ untuk membentuk perundangan yang serupa yang mungkin menyekat operasi industri sah yang membayar cukai. 

 

"Bagi menggubal undang-undang dan peraturan baharu seperti permainan akhir generasi, ia akan dipengaruhi oleh masa depan dan kemungkinan besar kumpulan berkepentingan khas tertentu seperti ahli politik serta kumpulan pelampau akan meminta pengharaman produk dan perkhidmatan yang mungkin dianggap bercanggah dengan falsafah sosial dan moral mereka,” katanya.

 

Beliau berkata, pembuat dasar serta keseluruhan yang terlibat perlu mempertimbangkan kesan masa depan sebelum meluluskan sesuatu undang-undang sekatan seperti larangan generasi tembakau.

 

“Kerajaan harus mencari keseimbangan apabila menggubal mana-mana peraturan sekatan agar tidak mewujudkan pasaran haram. 

 

"Contoh terbaik ialah pengharaman alkohol di AS pada tahun 1920an yang mengakibatkan lonjakan dalam perdagangan alkohol haram. 

 

"Untuk rekod, seperti yang dilaporkan sebelum ini, ekonomi gelap Malaysia menyumbang lebih daripada RM 300 bilion disebabkan oleh perdagangan haram dan kerajaan sebaliknya harus mengutamakan cara untuk menanganinya daripada mempertimbangkan mana-mana peraturan ketat yang akan memberi lebih tekanan selanjutnya kepada sistem," katanya. - DagangNews.com