Malaysia jadi tumpuan utama pelaburan syarikat ASEAN dan China - UOB | DagangNews Skip to main content

Malaysia jadi tumpuan utama pelaburan syarikat ASEAN dan China - UOB

Menteri Kewangan II Malaysia, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour (tengah), diapit oleh Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif UOB, Wee Ee Cheong (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei (kanan) semasa sesi pertemuan pelabur diadakan di UOB Plaza 1, Singapura.
Oleh Syaza Norazharuddin

KUALA LUMPUR 30 Julai - Malaysia menjadi negara tumpuan utama syarikat ASEAN dan Greater China bagi mengembangkan perniagaan mereka dalam tempoh tiga tahun akan datang.

 

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, berdasarkan Kajian Tinjauan Perniagaan UOB 2024, Malaysia merupakan destinasi pelaburan, khususnya untuk pelabur portfolio.

 

Menurutnya, UOB akan terus memainkan peranan penting dalam mempermudah pelaburan ke dalam negara memenuhi komitmennya dalam menyokong kemajuan ekonomi negara. 

 

Kerajaan Malaysia menyertai sesi pertemuan pelabur bertema ‘Highlights for Growth’ dianjurkan oleh UOB Malaysia, CIMB dan J.P Morgan di Singapura pada 26 Julai 2024. 

 

Objektif utama sesi tersebut adalah bagi mengukuhkan persepsi dan sentimen pelabur terhadap Malaysia, sekali gus memberikan gambaran menyeluruh tentang strategi pertumbuhan, prospek ekonomi dan pembaharuan fiskal kerajaan.

 

Menurut kenyataan media UOB, lebih 100 peserta termasuk pelabur kewangan dan peserta dari pasaran modal telah mengambil bahagian dalam sesi tersebut.

 

Menyaksikan penyampaian dan perbincangan itu termasuk Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour. 

 

Di samping itu, sesi itu juga meninjau pelaksanaan Kerangka Ekonomi MADANI, memberikan penjelasan terperinci kepada pelabur tentang kemajuan polisi utama kerajaan dan strategi ekonomi  Malaysia.

 

Mengulas mengenai acara tersebut, Amir Hamzah berkata kerangka ekonomi MADANI akan meningkatkan pertumbuhan Malaysia dalam tempoh 10 tahun akan datang. 

 

"Rangka itu bertujuan mengukuhkan kemampanan fiskal melalui pengurusan telus, menarik pelaburan berkualiti terutamanya dalam bidang pertumbuhan baharu serta memajukan pertumbuhan hijau bagi menyokong peralihan kepada ekonomi rendah karbon, selain daripada membina masyarakat yang makmur dan terangkum melalui polisi bersasar.

 

"Tinjauan positif daripada para penganalisis dan agensi penarafan, disokong oleh angka ekonomi yang menggalakkan, menunjukkan bahawa Malaysia sedang mengorak langkah besar untuk menuntut semula statusnya sebagai Harimau Asia," ujarnya. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bersama, Perbankan Borong Kumpulan, Kumpulan CIMB Chu Kok Wei pula berkata, sesi itu merupakan peluang penting untuk meneguhkan hubungan ekonomi dengan semua pihak berkepentingan di samping menggalakkan kerjasama arah pencapaian objektif dan manfaat bersama. 

 

"Pertemuan seperti ini bukan sahaja dapat memperkukuh kerjasama sedia ada, malah membuka jalan ke arah strategi yang berkesan dan pertumbuhan ekonomi yang mampan untuk Malaysia,” ulas beliau.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif J.P Morgan Chase Bank Bhd, Hooi Ching Wong turut menjelaskan pembaharuan polisi, pelaburan dalam pusat data dan pembinaan infrastruktur telah menjadi penggerak utama bagi ekonomi Malaysia. 

 

"Dengan gabungan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK),  Malaysia dapat mengharungi cabaran global dan berkembang melebihi KDNK global tahun ini," katanya.- DagangNews.com