Malaysia, AS jalin kerjasama strategik banteras buruh paksa | DagangNews Skip to main content

Malaysia, AS jalin kerjasama strategik banteras buruh paksa

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Mei - Amerika Syarikat bersedia menjalinkan kerjasama strategik dalam usaha membanteras buruh paksa selain memenubuhkan Jawatankuasa Kerja menerusi Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (US CBP) bagi mengadakan pertemuan setiap tiga bulan.

 

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, jawatankuasa itu juga akan memberi fokus kepada pertukaran maklumat berhubung elemen buruh paksa termasuk merangka polisi atau dasar yang dapat menyokong inisiatif negara ke arah membanteras buruh paksa.

 

"Selain itu, US CBP juga dijangka mengadakan lawatan kerja ke Malaysia pada penghujung Mei dan pada masa sama bersetuju mengadakan bengkel bersama pemain industri di Malaysia.

 

"Bengkel itu akan memberikan penerangan mengenai perkara berkaitan dengan elemen buruh paksa yang perlu dielakkan oleh pemain industri supaya produk mereka tidak disekat untuk masuk ke pasaran AS," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, kerjasama itu dipersetujui selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Penolong Eksekutif Pesuruhjaya Perdagangan US CBP, AnnMarie Highsmith dan Timbalan Setiausaha Bahagian Biro Hal Ehwal Buruh Antarabangsa (ILAB), Thea Lee serta Jabatan Buruh Amerika Syarikat (US DOL) semasa menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS.

 

Katanya, beliau turut berkongsi inisiatif kementerian dalam menangani hampir keseluruhan penanda aras buruh paksa yang disenaraikan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) seperti penahanan dokumen pengenalan diri, kerja lebih masa berlebihan, dan penahanan gaji. 

 

"Bagaimanapun, penda aras perhambaan hutang menjadi satu-satunya cabaran dengan kebanyakan daripada kes-kes berkaitan dengan indikator ini berlaku di negara sumber, tetapi memberikan implikasi negatif kepada negara penerima seperti Malaysia," katanya.

 

Mengulas mengenai kerjasama dengan US DOL, beliau berkata, jabatan itu bersetuju untuk berkongsi kepakaran dalam pemidahan aspek teknologi, bina upaya dan program perantis.

 

Beliau berkata, jabatan itu turut menyarankan agar Malaysia memberikan pendedahan kepada pekerja tentang kepentingan berkesatuan kerana ia selaras dengan pindaan Akta Kesatuan Sekerja 1959 yang akan dibentangkan di Parlimen pada Julai 2022. 

 

"Lawatan kerja ini juga telah membuka peluang kerjasama dua hala dalam membendung gejala buruh paksa selain menjadi platfom bagi AS untuk lebih memahami cabaran-cabaran yang dihadapi oleh Malaysia dalam menangani isu buruh paksa dan buruh kanak-kanak," katanya. - DagangNews.com