Malaysia komited beri perlindungan kepada kanak-kanak-PM | DagangNews Skip to main content

Malaysia komited beri perlindungan kepada kanak-kanak-PM

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Nov - Malaysia kekal komited dalam memberi perlindungan kepada kanak-kanak, terutamanya kanak-kanak dari golongan rentan, mangsa keganasan seksual dan keganasan rumahtangga. 

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, tindakan itu adalah selari dengan konsep Keluarga Malaysia dan pelantikan Malaysia untuk menduduki kerusi Majlis Hak Asasi Manusia (HRC).

 

Beliau berkata, kerajaan juga bertanggungjawab dalam melindungi semua kanak-kanak di negara ini, tanpa mengira kewarganegaraan, bangsa, agama, kelahiran atau status-status lain. 

 

Beliau berkata, kepentingan terbaik mereka mesti diambil kira terutamanya apabila menangani keperluan kanak-kanak yang terdedah, termasuk pelarian.

 

"Ini adalah selaras dengan prinsip konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak. Sejak sekian lamanya, Malaysia kekal komited berhubung hal penahanan untuk kanak-kanak di Malaysia.  

 

pm1

 

"Jangan kita lupa tentang perlindungan kanak-kanak dalam tahanan. Komitmen Malaysia dalam menangani isu ini dapat dilihat dalam penubuhan program Alternative to Detention (ATD) apabila kerajaan berikrar sebagai ahli HRC. 

 

"Program kesedaran seperti acara hari ini adalah antara tindakan yang boleh diambil untuk menggalakkan pemahaman yang lebih mendalam tentang hak kanak-kanak," katanya sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia 2021 di Parlimen hari ini.

 

pm 2

 

Antara Jun 2020 dan Ogos 2021, sebanyak 1,721 kes keganasan seksual terhadap kanak-kanak telah direkodkan dan terdapat 2,162 kes aktif yang sedang dalam perbicaraan.

 

Ismail Sabri berkata, setiap kanak-kanak mempunyai hak asasi untuk mendapatkan pendidikan dan membesar dalam suasana yang kondusif agar mereka mampu menjadi individu yang boleh mencapai potensi penuh dan mengejar impian mereka kerana mereka adalah modal insan penting kepada negara. 

 

Beliau berkata, dasar perlindungan kanak-kanak amat perlu pada masa ini bagi menggalakkan setiap agensi, organisasi dan anggota masyarakat memberi keutamaan kepada perlindungan kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama. 

 

pm3

 

"Dasar ini selaras dengan falsafah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak atau Convention on the Rights of the Child (CRC) 1995 dan Akta Kanak-Kanak 2001 yang juga menekankan prinsip perlindungan kepada kanak-kanak demi kepentingan terbaik mereka. 

 

"Dalam hal ini, Malaysia berpegang teguh dengan matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG) yang menjadi agenda global Pertubuhan Bang-Bangsa Bersatu (PBB), agar tiada kanak-kanak yang terpinggir dalam pembangunan negara, dan mereka berhak untuk hidup dengan selamat dan gembira," katanya.-Dagangnews.com