Malaysia komited capai matlamat APEC, Wawasan Putrajaya 2040 - PM | DagangNews Skip to main content

Malaysia komited capai matlamat APEC, Wawasan Putrajaya 2040 - PM

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Nov - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan bahawa kerajaan akan terus melakukan perkara terbaik dalam memajukan matlamat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan Wawasan Putrajaya 2040.

 

Beliau turut menyampaikan pelan Malaysia dalam memulihkan ekonomi pasca-COVID-19 menerusi dialog Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) secara dalam talian, semalam.

 

Katanya, pelan itu termasuk pemberian pelalian meluas, pemberian pakej rangsangan ekonomi bernilai hingga AS$127 bilion dan membuka sempadan semula melalui Lorong Vaksinasi Penuh (VTL) serta inisiatif Pusat Sehenti apabila keadaan mengizinkan.

 

"Setibanya saya di Kuala Lumpur selepas lawatan rasmi selama tiga hari di Jakarta, saya bersama pemimpin ekonomi APEC bagi menyertai dialog ABAC yang diadakan secara maya.

 

"Pada tahun ini, APEC dipengerusikan oleh Yang Berhormat Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern," katanya menerusi hantaran di Facebook.

 

Ismail Sabri mengadakan lawatan rasmi buat kali pertama ke negara republik itu sejak menganngkat sumpah selaku Perdana Menteri pada 21 Ogos lalu.

 

Perdana Menteri dilaporkan berkata, Malaysia dan Indonesia mencapai persetujuan untuk melaksanakan koridor perjalanan di antara kedua-dua negara, pasca COVID-19 hasil pertemuan itu selain bekerjasama dalam menangani cabaran terutamanya dalam bidang kesihatan.-DagangNews.com