KUALA LUMPUR 30 Mei - Peranan pustakawan dalam mendepani arus kemodenan masa kini wajar diperkasakan dalam membentuk masyarakat berilmu serta berwawasan, seterusnya menyumbang ke arah pembangunan negara.
Ketua Pustakawan Perpustakaan Sultan Abdul Samad Universiti Putra Malaysia (UPM), Mahbob Yusof berkata, dalam menyahut seruan Malaysia MADANI, peranan pustakawan perlu diperluas sejajar dengan kerangka Malaysia MADANI iaitu memacu kewujudan masyarakat maju dan bertamadun berdasarkan ilmu pengetahuan, tradisi, khazanah serta kearifan tempatan.
Katanya, Hari Pustakawan Kebangsaan yang disambut tanggal 6 Jun setiap tahun bertemakan 'Masyarakat Digital MADANI: Peluang Memacu Perubahan' merupakan satu penghargaan kepada semua pustakawan di Malaysia.
"Masyarakat MADANI mesti dibentuk dengan keupayaan dan literasi maklumat yang mantap serta sentiasa diperkasakan dengan perkhidmatan dan pengemaskinian kaedahnya oleh pustakawan.
"Para pustakawan terutamanya pustakawan di universiti yang berperanan secara langsung dalam pendidikan dan ilmu pengetahuan merupakan pemangkin kepada keberhasilan graduan seharusnya peka dengan kecenderungan maklumat digital masa kini agar bersesuaian dengan kehendak maklumat warga universiti khasnya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahbob berkata, cadangan membangunkan Perpustakaan Digital Negara merupakan suatu usaha besar yang membolehkan khazanah ilmu negara dikumpulkan dalam bentuk digital dan boleh diakses oleh sesiapa sahaja, termasuk pencinta ilmu dari seluruh dunia.
Menurutnya, ia merupakan sumbangan paling penting dalam menterjemahkan Malaysia yang MADANI, dan seterusnya menyumbang kepada peradaban tamadun manusia.
"Manakala, bagi menyemarakkan lagi usaha perkongsian sumber maklumat ini, satu Majlis Pelancaran Platform Sains Terbuka Malaysia (MOSP) oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada 16 Mei lalu telah memperlihatkan sumbangan langsung pustakawan dalam pengurusan dan penyumbang data mentah penyelidikan negara.
"Usaha pustakawan dalam MOSP ini akan merapatkan jurang antara penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan, serta meningkatkan keupayaan inovasi negara," katanya.
Di universiti katanya, pustakawan berperanan memacu pelbagai inisiatif perpustakaan digital secara kreatif dan inovatif bagi mendukung hasrat universiti menjadi sebuah kampus pintar.
Hasilnya, pelajar dapat menggunakan peranti mudah alih dan aplikasi teknologi maklumat untuk mengakses sumber maklumat perpustakaan dengan cepat pada bila-bila masa sahaja.
"Walaupun pelajar boleh mendapatkan maklumat melalui internet, kemudahan ruang bacaan di perpustakaan tetap menjadi tumpuan pelajar. Perpustakaan di universiti bukan sekadar menyediakan kemudahan pendidikan, malah lebih dari itu," ujar beliau.
Pustakawan berperanan menjadikan perpustakaan sebagai pusat intelektual yang sarat dengan pelbagai aktiviti keilmuan dan membina semangat.
Hasilnya, proses pembelajaran di universiti menjadi aktiviti yang menyeronokkan kepada pelajar dan mampu merangsang pemikiran kreatif, katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, di peringkat ASEAN, isu mengenai pemerkasaan pustakawan turut dibincangkan menerusi Libraries of ASEAN University Network (AUNILO), yang membingkas pemerkasaan pustakawan agar mampu menghasilkan karya kreatif dan inovatif
Mesyuarat yang dihadiri oleh semua ketua pustakawan universiti anggota AUNILO merupakan platform dan medium perkongsian maklumat serta amalan terbaik perpustakaan peringkat antarabangsa.
"Perjuangan menyemarakkan budaya keilmuan dalam menyantuni semangat Malaysia MADANI mesti diteruskan untuk menjadikan negara Malaysia sebuah negara yang lebih makmur dan maju melalui budaya ilmu," katanya. - DagangNews.com