KUALA LUMPUR 8 Mac - Negara akan memasuki fasa peralihan ke endemik bermula 1 April 2022, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri berkata, fasa peralihan ke endemik merupakan exit strategy untuk membolehkan kita semua kembali semula kepada kehidupan yang hampir normal selepas hampir 2 tahun berperang dengan COVID-19.
"Fasa ini juga merupakan fasa sementara sebelum negara beralih ke Fasa Endemik yang mana ia tertakluk kepada pengumuman yang hanya boleh dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).," katanya dalam sidang media khas di bangunan Parlimen, hari ini.
Ismail Sabri berkata, bagaimanapun, pemakaian pelitup muka di tempat awam masih wajib dipatuhi setiap individu.
Beliau berkata, selain itu, had waktu beroperasi bagi premis perniagaan turut dimansuhkan.
"Pemilik premis dibolehkan melaksanakan waktu operasi premis masing-masing mengikut syarat lesen operasi premis.
"Ini bermakna anda semua bolehlah makan di kedai makan selepas jam 12 tengah malam, terutamanya dengan bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi. Bolehlah bersahur di luar," katanya.
Katanya, pendaftaran kemasukan menggunakan MySejahtera masih diwajibkan dan hanya dikecualikan untuk kawasan terbuka, tidak sesak dan tiada perhimpunan orang ramai.
"Tambahan juga, MYSJTrace diwajibkan untuk tempat tertutup yang dipenuhi tetamu dan pengunjung," katanya. - DagangNews.com