`Malaysia Mudah' kurangkan birokrasi bantu syarikat wujudkan peluang kerja | DagangNews Skip to main content

`Malaysia Mudah' kurangkan birokrasi bantu syarikat wujudkan peluang kerja


PUTRAJAYA 21 Julai - Kerajaan bersetuju mewujudkan inisiatif ‘MalaysiaMudah’ (#MyMudah) yang bermatlamat untuk membantu syarikat dan perniagaan dari dibebani peraturan tidak perlu dan kerenah birokrasi serta mengurangkan kos perniagaan selain merangsang pewujudan peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi.

tokpa
Mustapa Mohamed

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memandang serius hal ini, justeru mengarahkan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) serta Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) melakukan intervensi dan bertindak sebagai badan penyelesai masalah dalam menanganinya.

Katanya, perkara ini diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang dipengerusikan beliau semalam.

Menurutnya, para pemilik syarikat dan perniagaan terbabit boleh mengemukakan beban peraturan dan birokrasi yang mereka hadapi melalui Portal Konsultasi Awam Atas Talian (Unified Online Public Consultation Portal) selain pelbagai sesi libat urus yang dilaksanakan oleh EAC dan MPC.

``Beban yang dibangkitkan akan dianalisis oleh Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH), seterusnya dibawa ke UNTUK SIARAN SEGERA Mesyuarat EAC untuk dinilai sebelum keputusan dibuat.

``Keputusan yang dibuat di Mesyuarat EAC akan dilaksanakan oleh Kementerian dan Kerajaan Negeri terbabit. Melalui inisiatif ini, Kementerian dan Kerajaan Negeri akan dapat mengurangkan peraturan tidak perlu serta meningkatkan kecekapan perfungsian dan operasi mereka,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mustapa berkata, selain itu, Kementerian dan Kerajaan Negeri juga diminta untuk menetapkan sasaran yang jelas dalam usaha mengurangkan kos pematuhan peraturan (termasuk jumlah prosedur dan jangka masa pemprosesan) yang dikenakan kepada syarikat dan perniagaan.

Beliau berkata, PEMUDAH akan memantau prestasi setiap Kementerian dan Kerajaan Negeri dan membuat laporan berkala kepada Majlis Tindakan Ekonomi.

Menurutnya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui MPC juga akan memberi panduan dan khidmat nasihat kepada semua Kementerian dan Kerajaan Negeri dalam perlaksanaan inisiatif ini. - DagangNews.com