PUTRAJAYA 20 Mei - Memandangkan situasi penarikan semula larangan ini adalah masih terlalu awal untuk dilihat kesannya ke atas penawaran dan permintaan ke atas industri minyak sawit Malaysia, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPKK) akan tetap meneruskan perbincangan dengan Kementerian Kewangan untuk kemungkinan mengurangkan cukai eksport minyak sawit Malaysia kepada 4%-6% daripada 8%.
Perbincangan itu juga meliputi cadangan melambatkan pelaksanaan mandat biodiesel Malaysia untuk membantu memenuhi permintaan global di tengah-tengah kekurangan minyak makan.
Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, cadangan pemotongan sementara ini sedang masih di dalam peringkat awal perbincangan dan keputusan adalah tertakluk kepada keputusan Kementerian Kewangan.
Namun begitu ujar beliau, KPKK menggesa pemain industri untuk menumpukan perhatian kepada pembolehubah pasaran yang mampu mencetuskan ketidaktentuan harga.
Antara pembolehubah ini adalah
(i) dasar eksport Indonesia;
(ii) pemulihan pengeluaran minyak sawit di Malaysia;
(iii) pelarasan dasar biodiesel di pelbagai negara;
(iv) perkembangan konflik Rusia-Ukraine; dan
(v) cuaca di AS dan Amerika Selatan.
Menurut beliau, harga MSM melonjak melepasi paras RM7,000/tan sehingga mencecah paras tertinggi iaitu RM7,516/tan berikutan tindakan Indonesia untuk mengharamkan eksport minyak sawit mulai 28 April.
Larangan itu hanya akan ditarik balik jika harga minyak masak pukal turun kepada 14,000 rupiah/liter di seluruh Indonesia (sehingga 6 Mei, purata harga minyak masak tempatan telah turun kepada 17,200 rupiah/liter daripada sekitar 26,000 rupiah/liter).
Beliau berkata, memandangkan Indonesia bergantung kepada eksport minyak sawit dan keputusan ini boleh memberi kesan kepada ekonomi Indonesia, larangan eksport Indonesia seperti yang dijangka telah pun ditarik balik sebagaimana yang telah diumumkan oleh Presiden Joko Widodo semalam.
"Kementerian akan terus memantau situasi terkini yang melibatkan perubahan polisi Indonesia dan seterusnya memastikan industri sawit yang merupakan komoditi utama negara terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, sekaligus memberi manfaat kepada semua terutamanya pekebun kecil dan pemain industri,'' katanya.
Zuraida mengulas pengumuman Presiden Joko Widodo pada Khamis bahawa Indonesia akan menarik balik larangan eksport minyak sawitnya sejak tiga minggu lalu, mulai Isnin ini berikutan penambahbaikan dalam bekalan minyak masak domestiknya.
BACA JUGA : Jokowi isytihar tamat larangan eksport minyak sawit Indonesia mulai Isnin
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata, statistik eksport pada bulan April mungkin agak mengelirukan memandangkan permintaan antarabangsa untuk minyak makan, termasuk minyak sawit, adalah jauh lebih lemah. Harga April juga mungkin lebih rendah berbanding Mac namun kekal pada paras yang belum pernah dicapai sebelum ini.
Setakat ini kata beliau, harga MSM adalah pada purata RM6,300/tan, satu kadar yang jauh lebih tinggi daripada purata RM4,300/tan seperti yang diunjurkan oleh penganalisis pasaran untuk 2022.
"Harga MSM berkemungkinan akan turun disebabkan aliran naik yang belum selesai dalam pengeluaran tandan buah segar (FFB),'' kata beliau.
Namun begitu ujar Zuraida, harga MSM sepatutnya kekal tinggi disebabkan faktor-faktor berikut:
• Isu Bekalan: Bekalan minyak masak yang bersaing dengan minyak sawit. Harga minyak sayuran seperti minyak kacang soya, biji sesawi dan bunga matahari juga kukuh. Bersama-sama dengan pengeluaran minyak sawit yang lebih kuat pada separuh kedua tahun 2022, bekalan minyak dan lemak yang boleh dimakan akan berkurangan menjelang suku keempat 2022, tetapi tidak banyak. Prospek pemulihan dijangka lebih tinggi pada tahun 2023; oleh itu, harga minyak sawit mungkin kekal
tinggi sehingga pertengahan 2023.
• Permintaan stabil: Walaupun terdapat kejatuhan permintaan disebabkan harga yang sangat tinggi, secara keseluruhan, pasaran minyak sawit dijangka kekal teguh. Cabaran Indonesia untuk memenuhi keperluan domestik menunjukkan kekuatan pasaran antarabangsa minyak sawit.
• Permintaan dari China: Pasaran utama minyak sawit, China, bersedia untuk meningkatkan permintaan minyak sawitnya pada akhir tahun kerana ekonominya hanya dibuka semula secara beransur-ansur daripada wabak COVID-19. Begitu juga, permintaan daripada EU berkemungkinan meningkat berikutan gangguan bekalan tradisional minyak bunga matahari dan minyak biji sesawi dari Ukraine dan Rusia.
• Kenaikan harga minyak: Konflik Rusia-Ukraine juga telah mengakibatkan kenaikan harga bahan api hidrokarbon, mewujudkan permintaan terpendam untuk bio bahan api jika harga minyak sayuran turun.
Zuraida berkata, hakikat bahawa inventori minyak sawit meningkat buat kali pertama sejak Oktober 2021 sebanyak 11.5% bulan ke bulan kepada 1.64 juta tan pada April 2022 didorong oleh pengeluaran yang lebih tinggi (+3.6% kepada 1.46 juta tan) dan eksport yang lebih lemah (- 17.7% hingga 1.06 juta tan) tidak sepatutnya membimbangkan.
"Ini kerana simpanan minyak sawit berkemungkinan dijangka merosot pada Mei 2022 berikutan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) yang lebih rendah (berpunca daripada bulan Ramadan) dan eksport yang lebih kukuh (berikutan langkah Kerajaan Indonesia baru-baru ini untuk meluaskan larangan eksport ke atas bahan mentah untuk minyak masak).
"Ini juga berikutan eksport yang lebih rendah ke China (-50.8%), Kesatuan Eropah (EU) (-23.2%) dan Pakistan (-90.3%) disebabkan beberapa faktor termasuk (i) sekatan ketat COVID-19 yang menghalang penghantaran minyak sawit ke China, dan (ii) penyusutan permintaan akibat harga yang tinggi,'' jelas beliau.
Namun begitu, data awal daripada AmSpec Agriculture Malaysia menunjukkan bahawa permintaan minyak sawit telah melonjak sebanyak 40.32% dalam tempoh 10 hari pertama bulan Mei sahaja disebabkan larangan eksport Indonesia, ringgit yang lemah dan harga minyak kacang yang secara relatifnya, lebih tinggi. - DagangNews.com