KUALA LUMPUR 5 Sept - Kerajaan sedang menilai penggunaan teknologi RT-ECO iaitu kaedah termaju bagi merawat efluen kilang minyak sawit (POME) bagi meningkatkan pengeluaran minyak sawit mampan di Malaysia.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, teknologi rawatan efluen itu amat sesuai untuk menangani permintaan pasaran global bagi memelihara alam sekitar.
"Kebimbangan alam sekitar dalam industri minyak sawit hari ini adalah penting.
"Pasaran global meneliti cara kami menguruskan sisa efluen sebelum memutuskan sama ada untuk membeli minyak sawit kami atau produk daripada industri lain yang menghadapi cabaran sisa yang serupa.
"Ini merupakan strategi bagi menggalakkan inovasi dalam merawat efluen sebelum dibuang ke dalam longkang.
"Kemampanan jangka panjang industri adalah penting bagi memastikan keselamatan air.
"Jika pelepasan itu mencemarkan longkang yang mengalir ke sungai, ia menjadi isu nasional," katanya semasa sesi sidang media selepas melawat unit demo teknologi RT-ECO di Kilang Sawit Seri Morib di Banting pada Rabu.
Johari berkata, peranan kementerian melangkaui selia pengeluaran minyak sawit, termasuk kualiti benih, hasil dan teknologi pengilangan bagi memastikan kebimbangan alam sekitar diurus dengan berkesan.
Sementara itu, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah ditugaskan untuk menilai keberkesanan teknologi tersebut, terutamanya dalam kegunaan kilang minyak sawit yang lebih kecil.
"Saya telah mengarahkan MPOB untuk menilai secara menyeluruh teknologi ini, memberi tumpuan kepada ketahanan dan keberkesanannya sebelum mempertimbangkan pelaksanaannya yang lebih meluas di seluruh kilang minyak sawit tempatan," ulas Johari.
Malaysia merupakan pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia selepas Indonesia yang mengeksport kira-kira 15 juta tan metrik minyak sawit dan produk berkaitan.
RT-ECO, dibangunkan oleh Meru Jaya POME Solutions dengan menggunakan teknologi elektrokimia untuk merawat POME, menjadikan sisa yang dihasilkan semasa pemprosesan minyak sawit selamat dan boleh dikitar semula dalam kilang sekali gus selaras dengan piawaian kemampanan global.
Turut hadir dalam lawatan itu ialah Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir dan Pengerusi POME Solutions Sdn Bhd Meru Jaya, Tan Sri Dr SA Vigneswaran.- DagangNews.com