Malaysia perlu seimbangkan permintaan sekuriti tenaga, kebolehcapaian tenaga, kelestarian alam sekitar bagi elakkan krisis tenaga | DagangNews Skip to main content

Malaysia perlu seimbangkan permintaan sekuriti tenaga, kebolehcapaian tenaga, kelestarian alam sekitar bagi elakkan krisis tenaga

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 April - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menegaskan bahawa Malaysia perlu menyeimbangkan permintaan antara sekuriti tenaga, kebolehcapaian tenaga dan kelestarian alam sekitar bagi mengelakkan krisis yang akan memberi kesan negatif kepada ekonomi.

 

Firma penyelidikan itu berkata, krisis tenaga yang melanda Eropah baru-baru ini telah meningkatkan kesedaran untuk mencapai keseimbangan dan meningkatkan  pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan bagi membangunkan sumber alternatif yang lebih berdaya maju.

 

"Suruhanjaya Tenaga bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah merangka strategi jangka panjang untuk mencapai sasaran neutral karbon menjelang 2050.

 

"Kami menganggap rancangan berkenaan adalah realistik dan boleh dicapai kerana Malaysia perlu menghentikan penggunaan arang batu secara berperingkat memandangkan teknologi tenaga boleh diperbaharui (RE) masih belum mampu menggantikan arang batu sepenuhnya dan penggunaan gas melibatkan kos lebih tinggi (peningkatan tekanan inflasi dan kebimbangan politik)," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, TNB sebelum ini sudah menyediakan Pelan Kelestarian 2050 yang memberi penekanan kepada tiga perkara termasuk sasaran RE kumpulan sebanyak 8,300 megawatt (MW) menjelang 2025, pengurangan intensiti pelepasan sebanyak 35% dan pengurangan kapasiti arang batu sebanyak 50%, serta menjadi sifar karbon dan bebas arang batu menjelang 2050.

 

"Tindakan menutup semua loji jana kuasa yang menggunakan arang batu dan menggantikannya dengan penjanaan gas dan tenaga boleh diperbaharui dalam tempoh terdekat adalah tidak munasabah.

 

"Adalah lebih baik sekiranya Malaysia mengambil langkah beransur-ansur dalam menghentikan penjanaan tenaga daripada arang batudan menggantikannya dengan alternatif lain yang lebih hijau, menjadikannya lebih berdaya maju dan mesra kos untuk pilihan penjanaan kuasa alternatif,” katanya.

 

Firma itu berkata, TNB juga sedang meneroka teknologi baharu seperti pembakaran bersama ammonia di stesen jana kuasa arang batu dan menghasilkan hidrogen hijau.

 

Katanya kelemahan RE adalah ia bukan pengganti paling ideal untuk penjanaan kuasa arang batu kerana disebabkan isu bekalan terputus-putus manakala penggunaan tenaga hidro memerlukan sungai yang mengalir dan saiz tanah besar selain tertakluk kepada aras air bermusim.

 

"Terdapat juga cadangan untuk melengkapkan penggunaan tenaga solar dengan sistem simpanan bateri yang akan meningkatkan kos pelaburan sebanyak dua kali ganda tetapi masih mampu memenuhi keperluan penjanaan," katanya.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata, kerajaan menggalakkan lebih banyak inisiatif penggunaan solar dalam kalangan pengguna, sektor perindustian, komersial dan pemaju bagi mengurangkan permintaan puncak untuk grid tenaga menurunkan keperluan untuk loji kuasa bahan api konvensional. - DagangNews.com