Malaysia raih pelaburan RM80.6 bilion Jan-Mac 2021 | DagangNews Skip to main content

Malaysia raih pelaburan RM80.6 bilion Jan-Mac 2021

 

KUALA LUMPUR 10 Jun - Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM80.6 bilion dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama pada suku pertama 2021, lonjakan 95.6% berbanding RM41.2 bilion semasa tempoh sama tahun lalu.

 

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata strategi agresif berterusan untuk menarik pelaburan tahap tinggi daripada pelabur asing dan domestik menujukkan hasil yang menggalakkan.

 

Katanya, pelaburan diluluskan membabitkan 993 projek dan dijangka menjana 32,557 peluang pekerjaan.

 

"Malaysia kekal lokasi pelaburan kompetitif untuk pelabur asing di sebalik pelbagai cabaran di peringkat global," katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau membentangkan kepada Kabinet prestasi memberangsangkan pelaburan bagi suku pertama tahun ini, di sebalik cabaran ekonomi luar biasa yang disebabkan oleh pandemik COVID-19.

 

Pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama meningkat sebanyak 383.4% kepada RM54.9 bagi tempoh Januari hingga Mac 2021, berbanding RM11.4 bilion dalam suku sama tahun lalu.

 

Singapura (RM43.1 bilion), Belanda (RM5.0 bilion), Korea (RM4.3 bilion), Taiwan (RM500 juta) dan Hong Kong (RM300 juta) adalah 5 negara teratas yang menjadi sumber FDI.

 

Pelaburan dari Singapura termasuk satu projek mega 100% milik China, di mana sumber pembiayaan dibuat menerusi sekutu yang terletak di negara itu.

 

Sementara itu, pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang baki sebanyak 31.9% atau RM25.7 bilion kepada jumlah pelaburan keseluruhan dalam ketiga-tiga sektor terbabit.

 

Lima negeri iaitu Kedah, Selangor, Sarawak, Sabah dan Kuala Lumpur menyumbang RM68.4 billion atau 84.9 peratus kepada jumlah pelaburan keseluruhan bagi tempoh Januari hingga Mac 2021.

 

Sektor pembuatan mendahului pelaburan bagi suku pertama 2021, merekodkan RM58.5 bilion, diikuti oleh sektor perkhidmatan sebanyak RM15.6 bilion dan sektor utama sebanyak RM6.2 bilion. - DagangNews.com