Malaysia rekod eksport tertinggi pada September RM88.93 bilion | DagangNews Skip to main content

Malaysia rekod eksport tertinggi pada September RM88.93 bilion

 

 

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Eksport negara kembali pulih apabila mencatat pertumbuhan dua digit sebanyak 13.6% kepada RM88.93 bilion. 

Jumlah itu merupakan nilai eksport yang tertinggi pernah direkodkan bagi September, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. 

Bagaimanapun, import menyusut 3.6% kepada RM66.96 bilion.

"Secara keseluruhan, jumlah perdagangan Malaysia pada September 2020 meningkat 5.5% kepada RM155.88 bilion berbanding September 2019. 

"Kenaikan ini direkodkan terutama dengan China, Hong Kong, Amerika Syarikat (AS), Belanda dan Taiwan," katanya dalam kenyataan hari ini.  

Menurut kenyataan itu, lebihan dagangan pada September 2020 melonjak 149.3% tahun ke tahun kepada RM21.97 bilion dan merupakan lebihan dagangan tertinggi pernah direkodkan bagi September.

Katanya, berbanding Ogos 2020, perdagangan, eksport dan import masing-masing berkembang sebanyak 7.5%, 12.4% dan 1.6% dengan lebihan dagangan merekodkan pertumbuhan ketara 66.3%. 

Bagi suku ketiga 2020, jumlah perdagangan pula bernilai RM460.87 bilion, menurun secara marginal sebanyak 0.5% berbanding tempoh sama tahun lalu. 

"Eksport naik 4.4% kepada RM260.62 bilion manakala import turun 6.3% kepada RM200.25 bilion. Lebihan dagangan meningkat 68.4% kepada RM60.36 bilion," katanya. 

Bagi tempoh 9 bulan pertama 2020, lebihan dagangan telah mencatat pertumbuhan dua digit sebanyak 14.8% kepada RM124.94 bilion berbanding tempoh sama 2019 dengan jumlah perdagangan bernilai RM1.294 trillion. - DagangNews.com

 

Prestasi dagangan Malaysia Januari-September 2020