Malaysia rekodkan pertumbuhan KDNK sebanyak 3.6% pada 2023, walaupun berdepan cabaran global - DOSM | DagangNews Skip to main content

Malaysia rekodkan pertumbuhan KDNK sebanyak 3.6% pada 2023, walaupun berdepan cabaran global - DOSM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Malaysia menunjukkan ekonomi yang berdaya tahan dengan mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 3.6% pada 2023, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pencapaian itu direkodkan di tengah-tengah persekitaran ekonomi global yang mencabar, termasuk ketegangan geopolitik yang memberi kesan kepada pasaran global, peningkatan kos sara hidup dan turun naik harga komoditi.

 

"Sektor perkhidmatan menyumbang kepada pertumbuhan ini dengan prestasi kukuh sebanyak 5.1%, mengimbangi pertumbuhan sederhana sektor pembuatan sebanyak 0.7% disebabkan oleh cabaran ekonomi global, termasuk gangguan rantai bekalan dan ketidakstabilan harga komoditi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, Malaysia mengalami peningkatan ketara dari segi kehadiran pelancong pada 2023, mencatatkan pemulihan kepada 20.1 juta pelancong berbanding 10.1 juta pelancong pada 2022, ketika sekatan perjalanan global lebih ketat disebabkan pandemik. 

 

Katanya, pelancongan domestik  juga meningkat secara mendadak, mencatatkan 213.7 juta pelawat, peningkatan sebanyak 24.6% berbanding 2022 (171.6 juta pelawat). 

 

info

 

Mohd Uzir berkata, Malaysia terus mengukuhkan kedudukan sebagai destinasi yang teguh dan menarik bagi pelabur global pada tahun 2023, didorong oleh prestasi pelaburan yang kukuh. 

 

"Aliran masuk modal bukan sahaja mengukuhkan ketahanan ekonomi Malaysia tetapi juga meningkatkan daya saingnya dalam pasaran global. 

 

"Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melaporkan bahawa Malaysia berjaya menarik pelaburan yang diluluskan sebanyak RM329.5 bilion pada tahun 2023, meningkat sebanyak 23% berbanding tahun sebelumnya (RM267.8 bilion)," katanya.

 

Beliau berkata, walaupun menghadapi persekitaran ekonomi global yang mencabar, perdagangan Malaysia melepasi RM2 trilion untuk tiga tahun berturut-turut, mencatatkan RM2.64 trilion pada tahun 2023, dengan lebihan perdagangan sebanyak RM214.1 bilion. 

 

Katanya, Pulau Pinang, Johor dan Selangor terus kekal sebagai negeri pengeksport utama Malaysia, menyumbang masing-masing 31.4%, 20.3% dan 17.7% kepada eksport negara.

 

Mohd. Uzir berkata, inflasi Malaysia pada 2023 menyederhana kepada 2.5% berbanding 3.3% pada 2022. 

 

Ia sejajar dengan harga komoditi global yang lebih rendah, gangguan bekalan yang beransur pulih, kawalan harga dan pemberian subsidi untuk barangan terpilih. 

 

Beliau berkata, anggaran penduduk Malaysia pada 2023 ialah 33.4 juta, meningkat 2.1% daripada 32.7 juta yang dicatatkan pada 2022.

 

Katanya, lima negeri iaitu Selangor, Johor, Sabah, Perak, dan Sarawak mencatatkan jumlah penduduk seramai 19.9 juta orang, menyumbang 59.8% kepada jumlah penduduk.

 

"Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) meningkat sebanyak 0.8 mata peratus kepada 70% pada 2023, berbanding 69.3% pada 2022. 

 

"Kenaikan ini direkodkan di semua negeri berbanding tahun sebelumnya," katanya.- DagangNews.com