Malaysia rugi RM12 bilion jika PKP lanjut akhir Februari 2021 | DagangNews Skip to main content

Malaysia rugi RM12 bilion jika PKP lanjut akhir Februari 2021

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Sekiranya kesemua negeri kecuali Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ketat sehingga akhir Februari depan, Malaysia mungkin berdepan kerugian RM12 bilion pada tahun 2021. 

 

Ini berdasarkan unjuran UOB Malaysia Berhad yang mengambil kira andaian operasi perniagaan sektor keperluan hanya mencecah 70% kapasiti. 

 

Pengarah Urusan dan Ketua Negara Perkhidmatan Kewangan Peribadi UOB Malaysia, Ronnie Lim tidak menafikan bahawa organisasinya menyemak turun unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2021 susulan jangkaan kerugian berkenaan. 

 

“Kami pada awalnya mengunjurkan 6% pengembangan KDNK  Malaysia pada 2021. Bagaimanapun, kami menyemak semula jangkaan tersebut selepas pelaksanaan semula PKP 2.0 di kesemua negeri kecuali Sarawak untuk mengekang peningkatan kes COVID-19. 

 

Ronnie Lim
Ronnie Lim

 

“Dengan ini, kami menjangkakan KDNK Malaysia akan meningkat 5% pada tahun ini dan kita mungkin harus menunggu sehingga sekurang-kurangnya 2022 untuk kembali ke tahap pra pandemik,” katanya dalam siaran soal jawab yang dikeluarkan hari ini. 

 

Bagaimanapun, sekatan PKP yang lebih longgar selain suntikan pakej rangsangan dan Proklamasi Darurat hingga 1 Ogos depan memberi ruang kepada kerajaan bagi menumpukan usaha mengekang jangkitan kes dan melaksanakan dasar-dasar untuk mengukuhkan ekonomi. 

 

Lim melihat risiko utama di hadapan Malaysia adalah kegagalan dalam mengendalikan jangkitan COVID-19, ketidakpastian politik domestik walaupun terdapat perisytiharan darurat dan pemulihan negara yang sangat bergantung kepada apa yang berlaku di peringkat global.

 

“Kerajaan juga akan meneruskan pemberian fiskal dan dasar monetari untuk mengukuhkan pemulihan ekonomi. 

 

“Dalam pada itu, perancangan vaksinasi negara yang pertama dijadualkan bermula penghujung suku pertama ini - salah satu sebab untuk bersikap optimistik,” tambah Lim. 

 

Di peringkat global, beliau percaya negara dan industri yang disokong oleh suntikan kerajaan yang berterusan mampu untuk pulih dengan lebih kukuh pada tahun ini, terutamanya apabila vaksinasi COVID-19 akan bermula pada pertengahan tahun ini. 

 

Jelas beliau, sekiranya lebih ramai penduduk dunia yang divaksin, kerajaan secara beransur-ansur boleh melonggarkan sekatan pergerakan dan perjalanan sekali gus mendorong ekonomi global mengukuh semula memasuki separuh kedua 2021 (2H21).

 

Kata Lim, bank-bank pusat akan terus mengekalkan dasar monetari yang sesuai untuk menyokong pemulihan ekonomi. 

 

Bagaimanapun, pihaknya menjangkakan carta pemulihan akan menunjukkan jalan yang berbeza kerana beberapa rantau dan sektor akan bangkit daripada kemelesetan ekonomi lebih cepat dan dalam keadaan lebih baik, sementara sektor dan rantau lain yang telah terjejas lebih teruk akan pulih dengan lebih perlahan.

 

“Sebagai contoh, industri seperti e-perdagangan, elektronik, teknologi, aplikasi permainan serta perkhidmatan dan farmaseutikal akan berkembang ketika pandemik ini. 

 

“Dengan kadar faedah yang rendah dan pertumbuhan ekonomi lebih tinggi, kami menjangkakan perolehan syarikat akan pulih daripada paras 2020 pada tahun ini,” ujar Lim lanjut. - DagangNews.com