KUALA LUMPUR 16 Dis - Menjelang Februari tahun depan, Malaysia menjadi tumpuan komuniti gastronomi global sempena pertandingan Memasak Antarabangsa Terbesar di Dunia daripada Guinness World Book of Records yang julung kali diadakan bersama lebih 500 peserta pelbagai negara.
Penganjur, Pertubuhan Kulinari Malaysia Bersatu (MBCA) mengadakan pertandingan Piala Kulinari Malaysia Sedunia dari 21 hingga 23 Februari 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, yang mana lebih 15,000 pengunjung dijangka hadir.
Pengerusi Penganjur dan Presiden Cef MBCA. Arthur Lim berkata, persatuan itu berharap untuk mencari bakat baru dengan menggalakkan dan memberi inspirasi kepada cef dan pakar kek dan pastri.
"Di Malaysia, kami mempunyai ramai cef yang hebat dan juga ‘home cooks’ yang tidak kurang hebat juga. Saya tidak akan berasa hairan jika beberapa ‘home cooks’ dan ‘home bakers’ memenangi pingat emas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lim berkata, pertandingan ini juga akan memberi platform kepada industri makanan dan minuman untuk bersuai kenal dan membuka peluang perniagaan dengan pelanggan serta pihak berkepentingan merentasi sempadan.
“Satu lagi visi kami adalah untuk membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) membangunkan hubungan perniagaan ke perniagaan (B2B) dengan kadar segera dengan pelanggan baharu.
"PKS adalah salah satu penyumbang ekonomi utama kepada negara kita, dan kami mahu menyediakan ruang untuk mereka menerokai potensi pasaran luar negara," katanya.
Peserta pertandingan ini akan berkesempatan untuk menimba ilmu daripada lebih 100 cef tempatan dan antarabangsa yang akan ditugaskan untuk mengadili 64 kategori dalam pertandingan itu.
Para pengunjung juga akan dapat menikmati juadah yang disediakan oleh peserta pertandingan yang terdiri daripada cef professional, pelajar institusi kulinari dan bakeri, serta ‘home cooks dan bakers’.
Pertandingan sedunia ini juga meyokong konsep "sifar sisa". Oleh itu semua makanan yang disediakan semasa acara ini akan habis dihidangkan tanpa sebarang pembaziran.
Sementara itu, pendaftaran kini dibuka sehingga 15 Januari 2023 dan peserta boleh mendaftar sehingga lima acara setiap orang/pasukan. Yuran penyertaan ialah RM150 seorang bagi setiap sub-kategori.
Setiap acara diadili berdasarkan sistem pemarkahan di mana peserta yang mendapat mata minimum akan menerima pingat dan semua peserta akan menerima sijil penyertaan. Calon yang berminat boleh mendaftar di TinyURL.com/WorldCupRegistration. - DagangNews.com