Malaysia sedia bantu India penuhi keperluan minyak sawit - Zuraida | DagangNews Skip to main content

Malaysia sedia bantu India penuhi keperluan minyak sawit - Zuraida

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Malaysia bersedia memenuhi permintaan India untuk minyak sawit memandangkan kemungkinan bekalan tidak menentu dari Indonesia. 

 

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, dalam tempoh kurang daripada setahun, pengeluar minyak sawit terbesar dunia Indonesia telah memperkenalkan beberapa dasar tentang eksport komoditi tersebut yang mengakibatkan ketidaktentuan pasaran dan kesukaran kepada negara pengimport seperti India.

 

Beliau berkata, India adalah antara pengguna minyak sawit terbesar dunia selepas Indonesia dengan tahap penggunaan 8.7 juta tan pada 2021 dan 8 juta tan sahaja pada suku pertama 2022. 

 

"Seperti yang dinyatakan oleh Presiden Persatuan Pengeluar Minyak Sayur India (IVPA), Sudhakar Desai pada Ekspo dan Sidang Kemuncak Agricommodity Antarabangsa Malaysia (MiACES) 2022 baru-baru ini, Malaysia telah mengekalkan dasar berkaitan perdagangan minyak sawit secara konsisten. 

 

"Ini sekali gus memenuhi permintaan India semasa tempoh larangan eksport minyak sawit oleh Indonesia. Sudhakar juga dipetik di dalam media menyatakan bahawa rantaian bekalan Malaysia yang stabil memainkan peranan penting dalam keselamatan minyak makan untuk permintaan India dalam dua bulan lepas. 

 

"Kepercayaan India terhadap Malaysia pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia selepas Indonesia sebagai pembekal yang dipercayai telah diperkukuh lagi dengan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara IVPA dan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) di MiACES 2022," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Zuraida, secara umumnya MOU itu bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama antara India dan Malaysia dalam industri minyak sawit, meningkatkan kerjasama untuk mempromosikan industri minyak sawit India, bertukar maklumat berkaitan usaha kemampanan serta penyelidikan dan pembangunan setakat tanaman emas berkenaan.

 

"Bagi tujuan ini, saya setuju dengan Sudhakar bahawa IVPA dan MPOC mampu menangani isu berkaitan dasar secara dinamik untuk manfaat industri di kedua-dua negara. 

 

"Pada masa ini, IVPA telah menganggarkan import minyak sawit India dari Malaysia kekal stabil pada separuh kedua 2022, iaitu kira-kira 55% daripada jumlah import minyak sawit India, walaupun Indonesia telah giat mempromosikan eksport komoditi tersebut kebelakangan ini," katanya.

 

Malah katanya, IVPA telah meramalkan lonjakan permintaan kepada 800,000 tan sebulan bagi untuk enam bulan akan datang, atau peningkatan kira-kira 20% daripada separuh pertama 2022. 

 

"Optimisme India terhadap minyak sawit Malaysia adalah tanda keyakinan terhadap tanaman emas negara. Kami berharap ini akan menggalakkan lebih banyak pasaran bukan tradisional untuk mula beralih kepada minyak sawit, yang telah terbukti lebih berkhasiat dan lebih mampan berbanding dengan alternatif.

 

"Dalam hal ini, KPPK akan meningkatkan usaha untuk mempromosikan minyak sawit Malaysia, bukan sahaja di India tetapi di seluruh dunia, termasuk pasaran bukan tradisional selaras dengan kempen 'Gerakan Global untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit'," katanya. - DagangNews.com