Malaysia sedia beli peralatan ketenteraan daripada Turkiye - PM Anwar | DagangNews Skip to main content

Malaysia sedia beli peralatan ketenteraan daripada Turkiye - PM Anwar

Gambar hiasan
Daripada D.Arul Rajoo

NEW YORK 21 Sept - Malaysia telah menyatakan kesediaannya untuk membeli peralatan ketenteraan dari Turkiye, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Anwar berkata, sebelum ini ada peralatan ketenteraan yang telah dibeli daripada Korea Selatan, dan menurutnya peralatan sesuai yang hendak dibeli dari Turkiye ini akan diputuskan oleh Majlis Angkatan Tentera Malaysia.

 

“Kita mungkin lihat dron dan helikopter…lihat pengkhususan dan kepakaran Turkiye. Namun saya serahkan pada pihak tentera, mana yang terbaik,” kata Perdana Menteri selepas pertemuan dua hala dengan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan di Turkish House di sini hari ini.

 

Katanya terserah kepada Kementerian Pertahanan untuk berunding dengan Kementerian Kewangan dan kerajaan terbabit dalam pembelian peralatan ketenteraan itu.

 

"Dasar saya ialah seperti yang saya katakan kepada Ketua Turus Bersama (Joint Chief of Staff), kita tidak mahu sebarang campur tangan mengenai apa yang perlu diperoleh, apa yang perlu dibeli,” katanya.

 

Pada masa yang sama, Anwar berkata Erdogan juga telah menyatakan persetujuan beliau untuk melawat Malaysia pada bulan Disember depan, lapor Bernama.

 

 

anwar
Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) ketika pertemuan dua hala dengan Recep Tayyip Erdogan di Turkish House, New York, Amerika Syarikat. - Gambar Facebook Anwar Ibrahim

 

 

anwar

 

 

Anwar kini berada di New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu. - DagangNews.com