Malaysia sentiasa berwaspada terhadap ketidaktentuan ekonomi domestik, global  | DagangNews Skip to main content

Malaysia sentiasa berwaspada terhadap ketidaktentuan ekonomi domestik, global 

Tengku Zafrul Abdul Aziz
 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Kementerian Kewangan menegaskan kerajaan sentiasa berwaspada dengan pertumbuhan negara yang masih berdepan risiko dan ketidaktentuan ekonomi domestik dan global. 

 

Ini termasuk penularan varian baharu COVID-19 yang boleh mengakibatkan lanjutan sekatan pergerakan sedia ada dan penangguhan aktiviti ekonomi untuk kembali normal, serta gangguan bekalan vaksin COVID-19, menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

 

Beliau menekankan bahawa keutamaan semasa kerajaan adalah untuk melindungi nyawa daripada ancaman COVID-19, dan memastikan prospek pertumbuhan ekonomi negara kekal kukuh dalam jangka masa sederhana dan panjang.

 

“Kerajaan akan terus mengambil langkah strategik, proaktif dan tegas dalam mendepani situasi COVID-19 yang mencabar serta meminimumkan kesan yang berpanjangan ke atas ekonomi akibat krisis ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Sebelum itu, Tengku Zafrul menjelaskan bahawa keluaran Dalam Negara Malaysia (KDNK) yang berkembang 16.1% pada suku kedua tahun ini (2Q21) mencerminkan trend pemulihan ekonomi negara yang berterusan. 

 

Baca : KDNK Q2 Malaysia berkembang 16.1%: Ekonomi terus di landasan pemulihan - Teng

 

Bagaimanapun, beliau menjangkakan prospek yang lebih mencabar bagi 3Q21 berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu di sebahagian besar kawasan di Lembah Klang pada bulan Julai. 

 

Turut mempengaruhi unjuran tersebut adalah pelaksanaan Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang berpanjangan di beberapa negeri penyumbang utama kepada KDNK negara. 

 

“Walau bagaimanapun, prospek ini akan diimbangi oleh pelonggaran sekatan kepada penerima vaksin lengkap, dan negeri yang telah berjaya beralih ke Fasa 2 dan Fasa 3. 

 

“Prospek untuk suku keempat (S4 2021) dijangka bertambah baik, disokong oleh pemulihan beransur-ansur berikutan pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi dan sosial apabila lebih ramai rakyat telah divaksin. 

 

“Vaksinasi lengkap juga akan mengurangkan beban sistem kesihatan dengan kemasukan ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU) yang lebih rendah,” kata Tengku Zafrul lagi.

 

Melangkah ke hadapan, dengan pelancaran Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara (4IR), pendigitalan dan penggunaan teknologi akan menjadi keutamaan untuk meningkatkan prospek dan daya tahan ekonomi jangka panjang Malaysia, selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital). - DagangNews.com