Malaysia seru PBB gerakkan pembaharuan hentikan konflik | DagangNews Skip to main content

Malaysia seru PBB gerakkan pembaharuan hentikan konflik

KUALA LUMPUR 22 Sept. - Malaysia meminta supaya Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menambahbaik dan menggerakkan pembaharuan bagi menghentikan konflik yang menjejaskan masyarakat dunia.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melihat isu itu masih lagi berlegar di segenap dunia sehingga ke hari ini. 

Beliau berpendapat PBB seolah-olah gagal untuk menyelamatkan generasi daripada ‘kesengsaraan’ peperangan. 

“PBB kekal sebagai satu-satunya institusi global yang kita semua berhak menuntut hak milik. 

“Ketika kita maklum bahawa organisasi ini telah melakukan kebaikan dalam pelbagai perkara sejak wujud selama 75 tahun terutamanya menggalakkan pembangunan sosial dan ekonomi, kita perlu jujur dan melihat PBB seolah-olah gagal untuk menyelamatkan generasi yang berjaya daripada bencana peperangan,” katanya seperti dipetik Bernama. 

Beliau menyampaikan kenyataan Malaysia pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA)  sebagai memperingati ulang tahun ke-75 PBB.

Perjumpaan itu dilaksanakan secara maya dan kenyataan oleh Muhyiddin dirakam lebih awal.

Tambah beliau, PBB amat diperlukan ketika ini dan organisasi itu perlu bersiap sedia bukan hanya dari segi kebebasan politik, tetapi dengan sokongan berterusan oleh negara anggota untuk menangani isu yang dihadapi dunia. 

Kata Muhyiddin, ini adalah waktu tepat untuk PBB menilai pencapaiannya, menambahbaik kelemahan dan membuang penghalang kepada kemajuannya. 

Sehubungan itu, Malaysia menyambut baik Deklarasi untuk Memperingati Ulang Tahun ke-75 PBB hari ini.

“Kami percaya bahawa peringatan hari ini menunjukkan peluang keemasan bagi komuniti antarabangsa untuk melakukan lebih baik. 

“Semoga kita tidak melepaskan peluang ini. Ayuh maju ke hadapan bersama-sama membina masa depan yang kita mahukan dan PBB yang kita perlukan,” tambahnya. - DagangNews.com