Malaysia, Singapura dijangka meterai perjanjian Zon Ekonomi Khas pada 11 Januari tahun hadapan | DagangNews Skip to main content

Malaysia, Singapura dijangka meterai perjanjian Zon Ekonomi Khas pada 11 Januari tahun hadapan

ISKANDAR PUTERI 23 Nov - Malaysia dan Singapura dijangka memeterai memorandum persefahaman mengenai penubuhan Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura pada 11 Januari tahun depan.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, SEZ dan Zon Kewangan Khas (SFZ) di Forest City merupakan pemangkin kepada pembangunan negeri, selain meneruskan penumpuan kepada sektor-sektor yang telah memacu pertumbuhan ekonomi.

 

Beliau berkata, pertumbuhan ekonomi pesat, sektor ekonomi pelbagai, politik yang stabil serta kemasukan pelaburan berkualiti secara berterusan adalah prasyarat utama jika Johor ingin muncul sebagai kuasa ekonomi utama di rantau ini.

 

“Insya-Allah, memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Singapura dan Malaysia (berhubung SEZ) akan ditandatangani pada 11 Januari 2024. 

 

“Kerajaan negeri berharap dan akan berusaha supaya perjanjian berkenaan ditandatangani selewat-lewatnya enam bulan dari tarikh tersebut dan pelaksanaannya pada awal tahun 2025,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2024 semasa Sidang Dewan Undangan Negeri di Bangunan Sultan Ismail, hari ini, lapor Bernama.

 

johor
Datuk Onn Hafiz Ghazi

 

Pada Pemukiman Pemimpin Singapura-Malaysia ke-10 di Singapura bulan lalu, Singapura dan Malaysia dilaporkan sedang menjalankan kajian daya maju bagi pengukuhan ekosistem JS-SEZ.

 

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dilaporkan berkata, kedua-dua negara kemudiannya akan menandatangani memorandum persefahaman berkaitan hasil daripada kajian tersebut yang diharapkan dapat dimeterai awal tahun depan.

 

Sementara itu, Onn Hafiz (BN-Machap) berkata projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) dan Transit Aliran Ringan (LRT) perlu dilaksanakan segera  bagi melengkapkan ekosistem sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini.

 

“Saya berharap Kerajaan Persekutuan akan memberi perhatian kepada permohonan ini (berkenaan HSR dan LRT),” katanya.

 

Malaysia dan Singapura bersetuju membina projek tersebut pada 2013 telah menandatangani perjanjian pembinaannya pada 2016, bagaimanapun pembinaanya ditangguhkan pada 2018 sehingga Disember 2020.

 

Pembinaannya kemudian ditamatkan pada Januari 2021 selepas kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan terhadap beberapa perubahan.

 

Pada 11 Mei lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dilaporkan berkata pihaknya sedang meneliti kertas cadangan pelaksanaan semula projek HSR Kuala LumpurSingapura membabitkan pelaburan swasta.- DagangNews.com