Malaysia, Singapura wujudkan laluan VTL untuk rakyat bergerak antara kedua negara | DagangNews Skip to main content

Malaysia, Singapura wujudkan laluan VTL untuk rakyat bergerak antara kedua negara

Malaysia dan Singapura akan menyediakan Laluan Vaksin Penuh (VTL) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Changi bermula 29 November ini.

 

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Nov - Malaysia dan Singapura akan mewujudkan Laluan Vaksin Penuh (VTL) di antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bermula 29 November ini.

 

Dalam satu kenyataan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berkata, menerusi VTL, orang ramai yang sudah divaksin sepenuhnya dibenarkan bergerak di antara Malaysia dan Singapura tetapi bergantung kepada keputusan ujian COVID-19.

 

Selepas melihat perkembangan semasa terhadap pemberian vaksin dan pengurusan pandemik COVID-19, kedua-dua Perdana Menteri bersetuju untuk membenarkan perjalanan rentas negara di antara Singapura dan Malaysia mengikut prosedur yang ditetapkan.

 

Kedua-dua Perdana Menteri mahu mengembalikan sektor pelancongan diantara kedua-dua negara dalam tempoh terdekat dan mahu membuka perjalanan di Tambak Johor dan Link Kedua selepas mengambil kira faktor kesihatan awam di Johor dan Singapura.

 

Kedua-dua pemimpin itu juga sedar bahawa COVID-19 telah memberi kesukaran kepada rakyat untuk berhubung antara kedua negara dan ada keluarga yang terpisah selama beberapa bulan.

 

"VTL adalah perkembangan penting dalam kerjasama panjang antara Malaysia dan Singapura. VTL akan membenarkan aktiviti pelancongan dengan kedua-dua negara akan membuka pintu sempadan secara berperingkat dengan mengimbangi pemulihan ekonomi dan memastikan keselamatan rakyat daripada COVID-19.

 

"Saya akan memastikan perjalanan ini berlangsung dengan efektif dan membantu pergerakan rakyat antara Malaysia dan Singapura," kata Ismail Sabri.

 

Sementara itu, Hsien Loong berkata, Singapura dan Malaysia memiliki hubungan yang sangat akrab dan beliau gembira kerana kedua-dua negara bersetuju untuk membuka pinru sempadan untuk orang ramai menerusi VTL.

 

"Ia akan membantu mengembalikan kemajuan ekonomi, mengembalikan hubungan antara rakyat dan menguatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara," katanya.-DagangNews.com