Malaysia Smelting diramal catat pendapatan lebih kukuh dipacu lonjakan harga bijih timah, kata Affin Hwang | DagangNews Skip to main content

Malaysia Smelting diramal catat pendapatan lebih kukuh dipacu lonjakan harga bijih timah, kata Affin Hwang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Malaysia Smelting Corp Berhad (MSC) diramal mencatatkan pendapatan lebih kukuh pada suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24) dipacu peningkatan harga bijih timah, kata Affin Hwang Investment Bank.

 

Katanya, pendapatan kumpulan itu dianggar berada dalam julat RM20 juta hingga RM25 juta berikutan lonjakan harga bijih timah sebanyak 25%.

 

"Penambahbaikan itu mungkin datang hanya daripada operasi perlombongannya kerana kami berpendapat MSC masih tidak mendapat manfaat sepenuhnya daripada harga timah memandangkan mereka menerima kekangan eksport daripada Myanmar dan Indonesia," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'jual' terhadap kumpulan itu dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM2.30 sesaham kerana percaya, harga sasama semasa lebih kepada mencerminkan kenaikan harga bijih timah.

 

Affin Hwang berkata, kumpulan itu dijangka tidak dapat memanfaatkan sepenuhnya lonjakan harga bijih timah kerana perniagaannya penyumberan luarnya terjejas.

 

"Pendapatan FY24 dijangka hanya berkembang sederhana sebanyak 2% kerana operasi peleburan MSC kekal terjejas oleh kekangan eksport negara pengeluar bijih timah utama," katanya.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan, turun naik dalam harga saham kumpulan dan ia dilihat merupakan kelemahan jangka pendek.

 

"Melihat ke hadapan, kami membayangkan pendapatan FY25 kumpulan berkembang 14% walaupun harga bijih timah lebih rendah kerana perniagaan pelaburan dijangka kembali pulih, ditambah dengan penjimatan kos yang dihasilkan kilang baharunya di Pulau Indah.

 

"Analisis sensitiviti kami mendedahkan bahawa perubahan AS$3,000 kepada ASP akan memberi kesan kepada unjuran pendapatan 2025 kami sebanyak 8.4%, manakala setiap 10 sen kenaikan/susut nilai dalam dolar AS berbanding ringgit memberi kesan kepada pendapatan kira-kira 1.6% atau sebaliknya," katanya. - DagangNews.com