Malaysia tanpa Malaysia Airlines | DagangNews Skip to main content

Malaysia tanpa Malaysia Airlines

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

Terlalu awal untuk menilai sama ada Malaysia Airlines akan ditutup atau tidak, masih boleh terbang atau tidak.

Apa yang pasti dalam tempoh berbaki kurang 2 bulan lagi sebelum berakhir 2020,  kita tidak boleh terbang, hanya mampu merenung di luar jendela. 

Sudah hampir sebulan selepas syarikat penerbangan nasional itu dilaporkan dalam perbincangan dengan pemajak dan pemiutang melibatkan pelan rasionalisasi hutang berjumlah RM16 bilion. 

Sekiranya penstrukturan itu selesai, ia memerlukan strategi dan pelan perniagaan baharu serta suntikan modal yang pastinya menuntut banyak komitmen supaya pelan pemulihan itu berjaya. 

Namun, jika sebaliknya, Malaysia akan kehilangan Malaysia Airlines.  
 
Ini akan menjadikan FireFly sebagai syarikat penerbangan nasional - itu perancangan Khazanah Nasional Bhd. sebagai pemegang saham. 

Tetapi adakah dengan menutup sebuah syarikat dan mengalihkan dana ke sebuah syarikat lain (atas nama penstrukturan semula), dapat menyelesaikan isu pokok yang membelenggu sektor penerbangan selama ini? 

Dalam erti kata lain, adakah 'reset' ini langkah tepat supaya syarikat kembali untung?

Mungkinkah Firefly akan menjadi syarikat penerbangan nasional suatu hari nanti?
Mungkinkah Firefly akan menjadi syarikat penerbangan nasional suatu hari nanti? 

 

Penganalisis bebas, Brendan Sobie dalam sebuah laporan menyifatkan mengalihkan perniagaan kepada Firefly (merujuk kepada Pelan B Khazanah) adalah kurang ideal. 

"Pelan ini hanya boleh dilaksanakan dengan merujuk kepada sejarah Malaysia Airlines sendiri. Tetapi ini bukan pilihan terbaik. 

"Pilihan lebih baik adalah penstrukturan di bawah MAB. Semua pihak berkepentingan (termasuk pekerja dan pembekal) sudah pasti jelas memilih jalan ini," katanya. 

Bagi pemerhati industri, rombakan kali kedua dalam sektor penerbangan dalam tempoh sedekad dengan mengangkat peranan Firefly sebagai syarikat penerbangan nasional, akan menambah perit kepada pemiutang syarikat tersebut.  
Selepas Malaysia Airlines menderita dengan dua tragedi memilukan, MH370 dan MH17, Khazanah membeli baki pegangan saham 30.63% dan muncul pemegang saham tunggal pada 2014.

Khazanah membeli saham Malaysia Airlines kali pertama pada 2001 berikutan kemelut krisis kewangan Asia.

Syarikat itu kemudiannya dinyahsenarai dan distrukturkan semula di bawah entiti baharu, Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang menerima Sijil Pengendali Udara (AOC) pada Ogos 2015. 

Firefly pula mula beroperasi pada 2007 dengan 50 Fokker turboprops, sebelum memperoleh ATR 72-500s setahun kemudian dengan sasaran pasaran kepada laluan yang tidak bedaya maju kepada Malaysia Airlines. 

Sebelum pandemik COVID-19 semakin memburukkan industri penerbangan bukan sahaja Malaysia tetapi di seluruh dunia, negara sudah pun berdepan dengan isu lebihan kapasiti.  

Ini menjadi punca utama yang menyumbang kepada kegagalan Pelan Pemulihan Malaysia Airlines bernilai RM6 bilion (yang disuntik Khazanah) bagi memastikan syarikat penerbangan kembali untung pada akhir 2017. 

"Saya memerlukan pemegang saham untuk menyelesaikan isu ini. Ini adalah masalah yang dihadapi oleh industri dan juga Malaysia Airlines, tetapi tiada siapa yang mahu mendengar," tegas Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Kapten Izham Ismail dalam temu bual dengan The Edge bulan lalu.  

Sebelum pandemik ini berlaku, difahamkan, bilangan tempat duduk adalah 1.5 kali ganda lebih tinggi berbanding permintaan. 

Pada 2019, ia menyaksikan 37.5 juta tempat duduk ditawarkan berbanding populasi penduduk 32 juta orang. 

Dalam tempoh 25 tahun lalu, hanya lima syarikat penerbangan yang beroperasi di luar Malaysia berbanding hari ini, kesemuanya berjumlah 32 syarikat. 

Industri penerbangan secara dasarnya bukan sahaja membawa orang terbang ke mana-mana destinasi, tetapi ia lebih besar melibatkan isu pajakan dan perkhidmatan tambahan daripada pengendalian di lapangan terbang hinggalah kejuruteraan, runcit, pembangunan digital dan jenama. 

Tetapi model perniagaan ini ternyata rapuh terutama apabila menerima kejutan seperti kenaikan harga minyak, apatah lagi krisis COVID-19 yang lebih buruk dengan kes jangkitan semakin meningkat di seluruh dunia.
 
Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menganggarkan tanpa bantuan tambahan dari kerajaan, syarikat penerbangan hanya mempunyai kira-kira 8.5 bulan sahaja untuk bertahan dengan baki tunai yang ada. 

Lebih memburukkan keadaan, ia tidak cukup untuk mengurangkan kos bagi menampung pendapatan.

Malah dijangkakan, kira-kira 46 juta orang yang terlibat dalam sektor penerbangan akan terjejas sekiranya tiada langkah diambil oleh pihak kerajaan di seluruh dunia. 

Berdasarkan analisis IATA, kerugian dalam sektor tersebut juga akan memberi kesan ketara ke atas pertumbuhan ekonomi global dan mengancam AS$1.8 trilion aktiviti ekonomi. 

Selain 1.3 juta kakitangan syarikat penerbangan berisiko hilang kerja, ia juga memberi kesan domino kepada 3.5 juta tambahan pekerjaan dalam sektor berkenaan. 

Ya, tiada siapa kisah apa yang akan terjadi kepada Malaysia Airlines. Menyelamatkan hidup rakyat yang terjejas akibat COVID-19 lebih penting daripada menyelamatkan sebuah syarikat penerbangan. 

Cuma kita terlupa kesannya amat besar, kerana kita tidak menilai dari sudut ekonomi. - DagangNews.com