Malaysia teguh pertahankan kedaulatan negara di Laut China Selatan, walaupun jalin hubungan baik dengan China | DagangNews Skip to main content

Malaysia teguh pertahankan kedaulatan negara di Laut China Selatan, walaupun jalin hubungan baik dengan China

KUALA LUMPUR 3 Julai - Malaysia tetap teguh dalam mempertahankan kedaulatannya berhubung pertikaian Laut China Selatan yang berterusan walaupun mempunyai hubungan baik dengan China, sidang Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

 

Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin berkata kerajaan akan menggunakan semua platform sedia ada untuk sebarang rundingan dengan republik itu berhubung perkara itu.

 

“Kerajaan bertekad untuk tidak berkompromi dalam hal berkaitan kedaulatan negara kita.

 

 

“(Dan) Sejak awal, kita tegas dalam mempertahankan kedaulatan negara dan kita akan terus menggunakan platform sedia ada untuk berunding dengan China (mengenai perkara itu).

 

“Kita ada mekanisme dan kita akan terus merundingkan perbincangan membabitkan tatakelakuan di Laut China Selatan,” katanya semasa sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Mohamad berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Zakri Hassan (PN-Kangar) yang bertanyakan pendirian kerajaan berhubung pertikaian Laut China Selatan.

 

Sementara itu, beliau menambah Malaysia juga akan memanfaatkan rangka kerja Asean sedia ada untuk rundingan dan perbincangan dengan China.

 

“Malaysia juga akan memanfaatkan kedudukannya sebagai pengerusi Asean tahun depan untuk mengukuhkan kerjasama dengan China dan negara anggota.

 

“Bulan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan mesyuarat dua hala yang diadakan dengan rakan sejawatannya dari China, Perdana Menteri Li Qiang telah menyentuh kepentingan mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di Laut China Selatan.

 

Selepas pertemuan itu, Anwar berkata kedua-dua negara bersetuju menyelesaikan pertikaian secara aman melalui perundingan dan rundingan mesra, selaras dengan undang-undang antarabangsa yang diiktiraf, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 mengenai Undang-undang Laut. - DagangNews.com