Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Jan. - Kajian Klinikal Fasa 3 vaksin COVID-19 akan bermula pada 21 Januari 2021 di 9 buah hospital Kementerian Kesihatan di bawah kelolaan Pusat Kajian Klinikal (CRC) masing-masing.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kajian klinikal yang pertama dilakukan di Malaysia ini dijangka melibatkan seramai 3,000 sukarelawan.
Menurutnya, Malaysia juga bakal menjadi negara pertama di luar China untuk kajian calon vaksin inactivated COVID-19 vaccine buatan Institute of Medical Biology Chinese Academy of Medical Sciences, China (IMBCAMS) ini.
"Kesemua keperluan regulatori termasuk kelulusan etika dari Medical Review & Ethics Committee (MREC) dan akhir sekali, Clinical Trial Import License (CTIL) dari NPRA telah diperolehi pada 8 Januari lalu," katanya dalam taklimat khas petang ini.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan juga telah meluluskan pendaftaran vaksin COVID-19 yang dihasilkan syarikat farmaseutikal, Pfizer.
"Malaysia dijangka menerima bekalan vaksin Pfizer untuk fasa pertama pada hujung Februari ini," katanya.
Beliau berkata, sebagai persediaan awal bagi memastikan pengagihan vaksin COVID-19 kepada rakyat berjalan lancar apabila bekalan diperolehi, KKM telah membangunkan Pelan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. - DagangNews.com