Malaysia terlepas peluang jadi hos acara RISE akibat COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Malaysia terlepas peluang jadi hos acara RISE akibat COVID-19

 

 

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) memaklumkan Web Summit memutuskan untuk mengekalkan penganjuran acara RISE di Hong Kong yang sepatutnya diadakan di Kuala Lumpur bagi edisi 2022.

 

RISE adalah persidangan teknologi terbesar di Asia dan telah dilancarkan sejak 2015.

 

MDEC menjelaskan, keputusan Web Summit itu dibuat memandangkan keadaan semasa pandemik COVID-19 serta kekangan dan cabaran yang untuk menganjurkannya di lokasi baharu. 

 

"Kami ingin memberi maklum yang keputusan ini bukanlah muktamad kepada Kuala Lumpur, kerana kami sentiasa mencari lokasi terbaik untuk menganjurkan acara kami, dan sudah pastinya Kuala Lumpur menepati kriteria tersebut. 

 

"Penduduknya, budaya, tradisi dan ekosistem teknologi berkembang maju yang terdapat di Kuala Lumpur, memang tidak dapat dinafikan dan kami mengaguminya. 

 

"Oleh itu, kami sangat yakin pada masa hadapan, kami akan terus mengadakan perbincangan bersama komuniti yang penuh bersemangat ini. 

 

"Kami juga mengalu-alukan para usahawan, pelabur dan pihak media Malaysia untuk menyertai acara kami di seluruh dunia," katanya yang memetik kenyataan dikeluarkan Web Summit. 

 

Pada November 2019, Web Summit mengumumkan acara RISE akan ditangguhkan ke 2021 ekoran demontrasi secara besar-besaran pro-demokrasi di Hong Kong. 

 

Tetapi, kemudiannya, pada Disember 2020 ia memaklumkan acara itu tidak akan diadakan dan RISE sebaliknya akan di sambung semula  di Kuala Lumpur pada 2022.

 

Sehubungan itu, MDEC ingin merakamkan setinggi-tinggi perhargaan terhadap sokongan yang diberikan kerajaan, terutama Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB), Unit Perancang Ekonomi (Jabatan Perdana Menteri), Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) serta rakan-rakan ekosistem teknologi yang telah berusaha memenangi bidaan penganjuran RISE. 

 

"Kami berhasrat untuk mengadakan perbincangan bersama mengenai bidaan penganjuran RISE pada masa akan datang," jelas MDEC.

 

Menurut MDEC, pihaknya akan terus memperhebatkan usaha menganjurkan acara digital dan platform ekosistem teknologi terbaik di Malaysia, seperti Malaysia Tech Month iaitu temasya digital dan teknologi terbesar di ASEAN dan World Congress on Information Technology (WCIT) akan datang pada September 2022 untuk menyokong objektif dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital (MyDigital) sekali gus mengukuhkan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN dalam tahun-tahun seterusnya. - DagangNews.com