Malaysian Pacific Industries optimis catat jualan lebih kukuh pada FY6/21F | DagangNews Skip to main content

Malaysian Pacific Industries optimis catat jualan lebih kukuh pada FY6/21F

Malaysian Pacific Industries Berhad (MPI)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Sept. - Malaysian Pacific Industries Berhad (MPI) optimis untuk mencatatkan pertumbuhan jualan yang lebih kukuh menjelang tahun kewangan Jun 2021.

CGS-CIMB Research berkata, keyakinan syarikat tersebut didorong oleh saluran produk yang stabil walaupun berlaku kelewatan pengeluaran sepanjang beberapa suku tahunan.

"Kelewatan pengeluaran itu disebabkan oleh perang perdagangan AS-China serta pandemik COVID-19.

"Kumpulan ini memberi petunjuk untuk penjualan yang lebih tinggi pada suku pertama tahun kewangan Jun 2021 berbanding tahun sebelumnya," jelas CGS-CIMB Research.

Pada suku keempat tahun kewangan Jun 2020, syarikat tersebut telah mencatatkan peningkatan jualan yang lebih tinggi menerusi jualan pembungkusan cip kepada pusat data dan PC.

Prestasi positif pada suku tersebut juga disebabkan oleh norma kerja dari rumah (WFH) berikutan penularan wabak.

Segmen industri dan PC mencatatkan peningkatan jumlah penjualan pada tahun kewangan Jun 2020 dengan pertumbuhan masing-masing adalah 8% dan 18% berbanding tahun sebelumnya.

Sementara itu, jualan segmen automotif MPI turut meningkat 1.3% berbanding tahun sebelumnya untuk tempoh yang sama walaupun prestasi penjualan kenderaan di peringkat global menurun.

Dalam nota kajian yang sama, CGS-CIMB Research memberitahu, penurunan penjualan kenderaan enjin berasaskan diesel adalah lebih rendah berbanding segmen kenderaan elektrik (EV).

CGS-CIMB Research juga mengekalkan saranan 'tambah' harga sasaran sesaham (TP) MPI pada kadar RM19.80. - DagangNews.com