Mampukah institusi bank untung dalam Q4? Tidak pasti - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

Mampukah institusi bank untung dalam Q4? Tidak pasti - CGS CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Dis. - Walaupun tempoh moratorium telah berakhir pada September lalu, namun institusi perbankan di Malaysia masih berdepan cabaran untuk mendapatkan kembali momentum keuntungan sebelum pandemik COVID-19.

 

CGS-CIMB Research melihat bank-bank masih berdepan isu peruntukan kerugian pinjaman (LLP) yang tinggi pada suku keempat 2020 (4Q20) berbanding tempoh sama tahun lalu selain penguncupan keuntungan faedah bersih. 

 

Ini sebahagiannya didorong oleh asas keuntungan bersih yang lebih tinggi pada 4Q19 bernilai RM6.85 bilion berbanding RM6.65 bilion pada 3Q20.

 

“Jika kami menganggarkan 0% hingga 10% pertumbuhan keuntungan bersih pada 4Q20 berbanding suku sebelumnya, keuntungan bersih sektor itu akan merosot antara 13.6% hingga 21.5% pada 4Q20 berbanding tahun lalu,” kata CGS-CIMB dalam nota kajiannya. 

 

Perkembangan utama yang menjejaskan bank-bank adalah berakhirnya moratorium pinjaman pada 30 September 2020. 

 

Pada 2Q20 dan 3Q20, moratorium itu melindungi pertumbuhan pinjaman dan kualiti aset bank daripada impak negatif pandemik COVID-19.

 

Berdasarkan jangkaan CGS-CIMB, lebih daripada 50% peminjam tidak membayar balik pinjaman mereka pada tempoh berkenaan termasuk mereka yang berdepan masalah kewangan. 

 

“Dengan moratorium pinjaman berakhir pada 30 September 2020, kami menjangkakan pertumbuhan pinjaman dan kualiti aset bank-bank akan merosot pada 4Q20.

 

“Bagaimanapun, kami tidak meramalkan kemerosotan ketara kerana bermula 1 Oktober 2020, bank-bank menawarkan bantuan bayaran balik bersasar kepada peminjam yang berdepan masalah kewangan dan permintaan meningkat daripada pinjaman pengguna pada 3Q20 susulan kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” tambah CGS-CIMB.

 

CGS-CIMB menjangkakan keuntungan bersih sektor itu akan melonjak semula pada tahun hadapan dengan pengembangan 19%.

 

Ini didorong oleh LLP 2021 yang dijangka menguncup 30.2% serta lonjakan semula pendapatan faedah bersih daripada kemerosotan 5.4% pada 2020 kepada 4.7% pada 2021. 

 

Dalam pada itu, Public Bank Berhad kekal pilihan teratas CGS-CIMB berdasarkan ketahanan bank itu daripada risiko kredit akibat pandemik COVID-19.

 

Ini disokong oleh rekod yang kukuh dengan nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) secara konsisten paling rendah dalam sektor itu. - DagangNews.com