Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 5 Ogos - Pengguna di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand (ASEAN-4) mungkin belum memerlukan liputan mudah alih 5G.
Ini adalah berikutan, CGS-CIMB Research tidak melihat teknologi berkenaan berpotensi digunakan dalam waktu terdekat.
Jelasnya, pengguna juga berkemungkinan tidak sanggup untuk membayar teknologi berkenaan yang dijangka berjumlah besar.
“Pengguna ketika ini memerlukan internet mudah alih untuk pengaliran video (video streaming), media sosial dan permainan mudah alih yang cukup dengan rangkaian 4G.
“Pengguna permainan awan (cloud gaming), real-time virtual reality (VR) augmented reality (AR) dan kenderaan autonomi (autonomous vehicle) mungkin berpotensi memerlukan kelajuan 5G.
“Tetapi, kami tidak merasakan aplikasi ini akan menjadi lazim di ASEAN-4 pada tiga tahun akan datang,” jelas laporan analisis CGS-CIMB Research.
Di Malaysia, Pasukan Petugas Khas 5G (NFCP) menjangkakan pelaksanaan teknologi itu mungkin menelan kos sehingga RM7.5 bilion.
Syarikat telekomunikasi di negara iaitu Maxis, Digi dan Telekom Malaysia (TM) dijangka menerima spektrum 5G sama ada pada penghujung tahun ini atau tahun hadapan.
Ketika ini, Thailand merupakan negara terawal di ASEAN-4 yang memasang rangkaian 5G dengan 13% penduduk di negara itu dijangka dapat menikmatinya pada penghujung tahun ini.
Dalam pada itu, CGS-CIMB Research setuju bahawa pembekal perkhidmatan rangkaian memerlukan teknologi mudah alih berkenaan.
“Trafik data mudah alih terus berkembang pesat didorong oleh peningkatan pelanggan kuota data dan media yang banyak termasuk pelan telekomunikasi kerana terdapat tekanan persaingan.
“Mereka mungkin akan menggunakan 5G dengan spektrum baharu di laman web sedia ada untuk menampung kemasukan trafik daripada rangkaian 4G mereka,” tambah CGS-CIMB Research. - DagangNews.com