Maraton Maybank Bali kembali dengan elemen amalan mampan | DagangNews Skip to main content

Maraton Maybank Bali kembali dengan elemen amalan mampan

Amalan dan kesedaran mampan akan diterapkan di kalangan semua peserta termasuk 260 rakyat Malaysia yang telah mendaftar

Maraton Maybank Bali 2022 yang akan diadakan pada 28 Ogos ini akan menyaksikan pengenalan amalan kemampanan sebelum, semasa dan selepas acara tersebut.

 

Setelah satu dekad sambutan dan pencapaian pada tahun ini, Maraton Maybank bukan sahaja akan menganjurkan perlumbaan maraton tetapi akan mengadakan Hari Kemampanan sehari sebelum acara perlumbaan.

 

Inisiatif mampan ini akan termasuk mempertingkatkan program pemerkasaan komuniti setempat demi menjana kesedaran yang lebih tinggi dan mempromosi kepentingan kemampanan di kalangan semua peserta pada acara tersebut.

 

Maraton ini akan menyaksikan penyertaan kira-kira 10,000 pelari dari 50 negara, bertujuan untuk mewujudkan pemahaman yang lebih mendalam tentang amalan kemampanan yang baik di kalangan semua peserta dan masyarakat sekitar.

 

Hampir 260 rakyat Malaysia juga telah mendaftar untuk acara tahun ini yang disambung semula secara fizikal selepas ditangguh selama dua tahun. Acara Maraton ini telah diadakan secara dalam talian bagi dua tahun yang terakhir berikutan pandemik.


 

maybank

 


Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Dato’ Khairussaleh Ramli berkata Maybank berbesar hati kerana dapat menganjurkan acara ini di suasana norma baharu dan komited untuk menggunakan pengalaman lepas, termasuk daripada pandemik, untuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan demi mempromosi amalan kemampanan yang baik.

 

“Tujuan kami menjalankan inisiatif ini adalah untuk memastikan kami sentiasa sejajar dengan objektif untuk memastikan kesan minimum terhadap alam sekitar dalam apa jua yang kami lakukan. Pada masa yang sama, kami ingin memanfaatkan setiap aktiviti untuk mewujudkan kesedaran dan mempengaruhi komuniti kami untuk menerapkan elemen kemampanan ke dalam kehidupan dan perniagaan seharian mereka, demi kesejahteraan masa depan planet kita.”

 

Selain itu, Presiden Direktor Maybank Indonesia, Taswin Zakaria berkata, “Acara ini diharapkan dapat menyemarakkan lagi semangat di kalangan peminat maraton yang teringin menimba pengalaman berlumba di persekitaran alam semula jadi, khususnya di Bali.”

 

Beliau menambah bahawa larian pada tahun ini telah direka bentuk dengan semua langkah kesihatan yang diperlukan, menggabungkan mesej kemampanan untuk semua orang termasuk pelari, penonton, penganjur, rakan perniagaan, penaja bersama, penduduk kampung sekitar serta komuniti terpinggir dan kurang upaya di pulau tersebut.


 

2018

 


Maybank Indonesia telah secara aktif melibatkan penduduk sekitar desa untuk menyediakan perkhidmatan sampingan di mana mungkin bagi memastikan masyarakat tempatan kekal sebagai penerima manfaat utama dari segi ekonomi dengan penganjuran acara Maraton. Sekolah-sekolah dan pelajar-pelajar berhampiran juga telah dijemput untuk memberi galakan kepada pelari di laluan Marathon dan menyokong aktiviti lain seperti menyediakan persembahan tradisional untuk acara tersebut.

 

Perlumbaan khas untuk orang kurang upaya berkerusi roda juga merupakan acara penting sebagai sebahagian daripada usaha untuk menggalakkan kepelbagaian dan keterangkuman.

 

Dari peringkat perancangan acara Maraton tahun ini, Maybank Indonesia telah bekerjasama dengan Eco Bali, suatu syarikat perniagaan sosial yang memberi tumpuan kepada pengurusan sisa. Eco Bali akan menyokong kutipan dan pengurusan sisa semasa acara kutipan pek perlumbaan di Taman Bhagawan, Tanjung Benoa.

 

Pada hari perlumbaan, Maybank Maraton akan bekerjasama dengan Aqua (Danone), jenama air minuman botol Indonesia untuk mengumpul dan menguruskan sisa sepanjang laluan maraton. Maybank Maraton komited untuk mengoptimumkan kutipan sisa semasa acara ini dan melibatkan sukarelawan dari Bali bagi memastikan semua sisa dibuang ke dalam tong sampah yang disediakan. Selain itu, semua sisa yang terkumpul akan diproses di kemudahan pengurusan sisa Reciki, bagi meminimumkan jumlah sisa dihantar ke tapak pelupusan sampah dan laut.

 

Stesen air akan disediakan dengan cawan kertas untuk meminimumkan sisa plastik. Tong/stesen kitar semula juga boleh diakses di pelbagai lokasi semasa acara bagi memastikan semua sisa boleh dikitar semula dengan sewajarnya.


 

maybank

 


Maraton Maybank 2022 akan diadakan di ‘The Bali Safari and Marine Park’, meliputi padang lumba yang melalui perkampungan tradisional dan ladang di Kabupaten Gianyar, Bali.

 

Acara ini telah diterima sebagai perlumbaan jalan raya ‘Elite Label’ pada tahun 2020 oleh World Athletics (sebelum ini dikenali sebagai International Association of Athletics Federations) dan diiktiraf sebagai acara kelayakan untuk Maraton Boston. - DagangNews.com