MARC berhati-hati terhadap pendirian dasar monetari BNM yang dijangka berdepan 'dilema' | DagangNews Skip to main content

MARC berhati-hati terhadap pendirian dasar monetari BNM yang dijangka berdepan 'dilema'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 20 Jan - Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka berdepan 'dilema' berhubung keputusan dasar monetarinya pada masa hadapan meskipun kadar dasar semalaman (OPR) yang dikekalkan pada 1.75% sudah dijangkakan, menurut Malaysian Rating Corp. Bhd. (MARC).

 

Dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari pertama bagi 2022 yang diadakan hari ini, bank pusat membuat keputusan untuk mengekalkan kadar OPR yang menjadi rujukan kepada kadar faedah pinjaman tempatan. 

 

Jelas MARC, dalam senario terburuk, terdapat kemungkinan gelombang pasang surut kes COVID-19 seterusnya boleh menyebabkan gangguan lebih besar kepada rantaian bekalan, mendorong inflasi ke paras tinggi dalam beberapa dekad dan menjejaskan kemajuan pemulihan pertumbuhan Malaysia.
 

Di bawah senario ini, katanya, ia kekal berhati-hati sama ada BNM akan mengekang inflasi atau mengekalkan pendirian dasar monetari yang akomodatif. 

 

"Jika bank pusat mengetatkan dasar monetari bagi mengawal inflasi, ini boleh memberi tekanan kepada permintaan dan mengancam pemulihan ekonomi.

 

"Ini bermakna, ia lebih banyak menjejaskan ekonomi, yang seterusnya menyebabkan lebih banyak kerosakan kepada kunci kira-kira kerajaan yang sudah tertekan. 

 

"Akibatnya, kita boleh menjangkakan lebih banyak tekanan terhadap penarafan kredit berdaulat Malaysia," katanya dalam laporan prospek ekonomi 2022 pada Rabu.  

 

Bagaimanapun, MARC berkata, ia menganggap BNM mengekalkan dasar monetari akomodatif bagi mengelakkan lebih banyak kerosakan kepada ekonomi. 

 

Dalam hal ini, katanya, BNM mempertaruhkan inflasi mengikut jangkaan, bayaran upah dan penetapan harga, seterusnya mencetuskan ketidakstabilan ekonomi.

 

"Selain itu, ia juga memberi risiko kepada aliran masuk modal dan kelemahan ringgit di tengah-tengah peningkatan kadar faedah global kepada dasar monetari global dinormalisasikan," jelasnya.

 

Pada November 2021, Malaysia menyaksikan aliran keluar bersih asing sebanyak RM3.6 bilion daripada hutang kerajaan selepas pelabur global mengambil petunjuk daripada langkah hawkish pivot Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) untuk mencairkan pegangan dalam aset pasaran baharu muncul. 

 

"Kecairan dalam pegangan asing ini, yang kami jangka akan berterusan pada 2022, boleh melonjak lebih daripada jangkaan jika dilema dasar monetari BNM menjadi semakin jelas," tambahnya.

 

Baca : Kadar OPR masih kekal 1.75% - BNM

 

Sementara itu, MARC menjangkakan indeks harga pengguna (IHP) akan terus berdepan tekanan sepanjang tahun ini dengan purata inflasi dijangka sekitar 2.2%.

 

Katanya, ini berlaku di sebalik penambahbaikan beransur-ansur pasaran buruh, kekangan bekalan yang berterusan, ketidakcekapan kawalan harga sedia ada dan mekanisme anti-pencatutan. 

 

Penilaian yang dibuat agensi ini mengambil kira 3 pertimbangan iaitu pertamanya, dari segi indeks harga pengeluar (IHPR) yang menunjukkan trend 2 digit sejak April 2021 dan akan berterusan sehingga suku pertama 2022. 

 

Senario ini, katanya, menunjukkan jurang yang besar antara IHPR dan IHP dalam beberapa bulan lalu, yang menyaksikan keuntungan pengeluar merosot di tengah-tengah kekangan bekalan.

 

"Kedua, adalah apabila IHPR kembali normal selepas suku kedua 2022, yang mana kami jangkakan inflasi akan berterusan dalam beberapa bulan akan datang apabila pengeluar memindahkan kos pengeluaran yang semakin meningkat kepada pengguna apabila permintaan domestik meningkat pada 2022. 

 

"Yang ketiga pula, kami meramalkan peningkatan yang terhad kepada penggunaan kawalan harga dan mekanisme anti-pencatutan untuk membendung kenaikan harga," jelasnya.

 

Walaupun unjuran bank pembangunan pelbagai hala mencadangkan untuk menghilangkan kesan asas rendah pada 2022, namun, MARC percaya bahawa kerajaan hanya akan menggunakan sekatan pergerakan yang ringan untuk membendung penyebaran Omicron atau varian COVID-19 berikutnya memandangkan kadar vaksinasi yang tinggi di seluruh dunia.

 

Negara ekonomi anggota ASEAN, kecuali Singapura dilihat bersedia untuk mencatat pertumbuhan lebih tinggi pada 2022 berbanding 2021 di tengah-tengah kadar vaksinasi yang tinggi dan kelonggaran sekatan pergerakan secara beransur-ansur.

 

"Oleh itu, kami tidak menjangkakan pelaksanaan sekatan sekali lagi di rantau ini pada tahun ini, yang merupakan peningkatan kepada pertumbuhan perdagangan Malaysia pada 2022,” katanya. - DagangNews.com