MARC beri penarafan AAAIS dengan prospek stabil terhadap sukuk TNB Northern | DagangNews Skip to main content

MARC beri penarafan AAAIS dengan prospek stabil terhadap sukuk TNB Northern

Loji jana kuasa turbin gas kitaran gabungan (CCGT) berkapasiti 1,071.43 MW di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang. 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 14 Sept. - Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC) mengesahkan penarafan AAAIS terhadap sukuk TNB Northern Energy Bhd. bernilai RM1.35 bilion dengan prospek stabil.  

 

TNB Northern adalah syarikat pendanaan bagi induknya, TNB Prai Sdn. Bhd. untuk membangunkan dan menjalankan operasi bagi loji jana kuasa turbin gas kitaran gabungan (CCGT) berkapasiti 1,071.43 MW di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang. 

 

TNB Prai pula adalah anak syarikat milik penuh tidak langsung Tenaga Nasional Bhd. (TNB), yang mempunyai 21 tahun perjanjian pembelian tenaga (PPA) dengan TNB. 

 

Menurut MARC, penarafan itu adalah menyamai kredit korporat TNB dengan penarafan AAA/stabil berdasarkan komitmen kewangan TNB yang kukuh melalui jaminan tanpa syarat dan tidak boleh dibatalkan bagi membiayai kelemahan dalam akaun perkhidmatan kewangan.

 

"Penarafan yang setanding ini juga disokong oleh usaha TNB yang mengekalkan pemilikan tidak langsung dalam TNB Prai dan TNB Northern," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

TNB Prai merekodkan pendapatan sebanyak RM1.47 bilion pada 2020, menyusut 2% tahun ke tahun manakala aliran tunai daripada operasi (CFO) menyederhana kepada RM45.5 juta. 

 

Berdasarkan unjuran aliran tunai, nisbah liputan perkhidmatan kewangan (FSCR) secara purata dan minimum dengan tunai kekal pada 0.27x dan 1.76x, namun, sebarang kecairan dijangka dilindungi dengan jaminan berterusan (rolling guarantee). 

 

Baki dalam akaun berjumlah RM144.9 juta setakat 30 Jun 2021, adalah lebih daripada mencukupi untuk memenuhi keuntungan sukuk bagi setengah tahun dan tuntutan prinsipal sebanyak RM60 juta pada November ini.

 

MARC berkata, kadar pemadaman yang tidak dirancang (UOR) telah meningkat sejak November 2020 tanpa sebarang gangguan besar. Setakat akhir Mei 2021, UOR bagi Unit 20 kekal pada 4.19%. 

 

Pada tahun lalu, loji tenaga terkesan dengan beberapa masalah operasi hingga menyebabkan berlakunya pelanggaran had pemadaman tidak dirancang di salah satu unit jana kuasanya, Unit 20, yang menyaksikan UOR meningkat kepada 6.51% pada Oktober 2020. 

 

Disebabkan pelanggaran ini, kapasiti bayaran adalah 3.6% lebih rendah kepada RM194.4 juta berbanding unjuran pada 2020. 

 

"Pembayaran tenaga yang diterima adalah 33% lebih rendah berbanding unjuran RM1.89 bilion pada tahun lalu disebabkan harga gas yang rendah sejajar dengan harga minyak global. 

 

"Seperti tahun-tahun sebelumnya, TNB Prai tidak dapat menanggung sepenuhnya kos bahan bakar sebanyak RM21.6 juta kerana kadar kepanasan loji terus melebihi keperluan yang ditentukan oleh PPA," katanya. - DagangNews.com