Aramco, pemotongan subsidi beri cabaran berganda terhadap Petronas Dagangan - CGSI Research | DagangNews Skip to main content

Aramco, pemotongan subsidi beri cabaran berganda terhadap Petronas Dagangan - CGSI Research

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 8 Mei - Pemotongan subsidi bahan api dan persaingan daripada Aramco yang berkemungkinan mengambil alih stesen minyak Shell dijangka mampu menjejaskan jumlah jualan Petronas Dagangan Berhad (PDB).

 

CGS International (CGSI) Research berkata, sekiranya perjanjian pengambilalihan berlaku, Aramco akan menjenamakan semula stesen minyak Shell dan mungkin menawarkan promosi untuk mengekalkan pelanggan sedia ada dan menarik pelanggan baharu.

 

Katanya, ini seperti mana sewaktu Petron Corp membeli stesen Esso milik ExxonMobil di Malaysia pada 2012 dengan Petron Malaysia (PetronM) membina rangkaiannya daripada 550 stesen pada 2012 kepada 770 stesen dan menjenamakan semula stesen itu dengan melancarkan pelbagai kempen promosi dengan mata dan hadiah kesetiaan.

 

 

 

"Hasilnya ialah jualan bahan api runcit PDB turun 2% yoy pada 2014 dan turun 9% yoy pada 2015; PDB juga menanggung kos pengiklanan dan promosi yang lebih tinggi untuk bersaing dengan PetronM. 

 

"Aramco boleh meneruskan strategi yang sama seperti PetronM, pada pendapat kami, yang boleh menjadi pemangkin penurunan penarafan yang berpotensi untuk PDB," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Shell bincang jual perniagaan stesen minyak di Malaysia kepada Saudi Aramco - Reuters

 

Menurut CGS International, satu lagi pemangkin penurunan penarafan yang berpotensi ialah kemungkinan besar kerajaan Malaysia akan mengurangkan jumlah volum subsidi bahan api mulai pertengahan 2024F. 

 

"Pada pandangan kami, subsidi diesel mungkin dihadkan kepada pengangkut dan jenis kenderaan barangan tertentu melalui sistem kad dan harga pam diesel mungkin meningkat daripada RM2.15 seliter kepada RM3.15 seliter jika tidak disubsidi.

 

PDB

 

"Kenaikan harga bagi petrol RON95 yang digunakan kenderaan bermotor boleh dilakukan secara berperingkat dan akhirnya naik daripada harga semasa RM2.05/liter kepada harga tidak bersubsidi sebanyak c.RM3.30/liter," jelasnya.

 

Firma penyeldikan itu berpendapat bahawa harga pam yang lebih tinggi boleh menggalakkan perkongsian kereta di samping mengelakkan penyeludupan bahan api bersubsidi ke negara asing.

 

Katanya, situasi ini boleh mengurangkan jumlah jualan PDB. 

 

"Bagaimanapun terdapat kemungkinan pertumbuhan lebih kukuh daripada jangkaan dalam jualan bahan api jet kerana rangkaian syarikat penerbangan terus pulih," ujarnya.

 

Selanjutnya, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan REDUCE dengan harga sasaran (TP) RM16.80 sesaham daripada harga semasa RM21.88 sesaham.- DagangNews.com