MARC Ratings jangka BNM kekalkan OPR pada kadar 3% dalam mesyuarat dasar monetari akan datang | DagangNews Skip to main content

MARC Ratings jangka BNM kekalkan OPR pada kadar 3% dalam mesyuarat dasar monetari akan datang

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 5 Jan - MARC Ratings menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3% dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada 24 Januari 2024, yang tidak berubah sejak Mei 2023.

 

Agensi penarafan kredit itu berkata jangkaan tersebut disokong oleh trend inflasi yang semakin berkurangan, prospek ringgit lebih kukuh dan jangkaan pemotongan kadar dana persekutuan Amerika Syarikat (AS), yang akan menyokong perbezaan kadar faedah pada 2024.

 

Dengan inflasi dalam tempoh 11 bulan pertama pada purata 2.5%, MARC Ratings berpendapat bahawa inflasi tahun penuh 2023 dianggarkan berada dalam julat unjuran Kementerian Kewangan, iaitu 2.5% hingga 3%.

 

Setelah inflasi menurun kepada paras terendah 33 bulan pada 1.5% dalam November tahun lepas,  agensi itu berkata risiko kenaikan inflasi dalam bulan-bulan akan datang boleh berpunca daripada kenaikan harga komoditi; harga makanan lebih tinggi didorong oleh ketegangan geopolitik akibat gangguan rantaian bekalan; dan tekanan daripada permintaan domestik yang lebih kukuh.

 

Bagaimanapun, agensi tersebut berkata perdagangan runcit berdaya tahan, dengan pertumbuhan melantun semula ke paras tertinggi empat bulan sebanyak 2.4%, selaras dengan pertumbuhan pengeluaran berorientasikan domestik yang lebih tinggi bagi bulan tersebut.

 

“Kami menjangkakan prospek yang lebih cerah untuk sektor pembuatan di tengah-tengah beberapa tanda tentatif daripada permintaan yang semakin kukuh, ditambah pula dengan jangkaan pemulihan dalam industri semikonduktor global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

MARC Ratings juga berpendapat bahawa sebarang peningkatan dalam ketegangan Laut Merah, konflik di Timur Tengah, keputusan pengeluaran Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) pada masa hadapan dan jangkaan pertumbuhan global akan memberi kesan ke atas rantaian bekalan dan harga komoditi di seluruh dunia pada 2024.

 

Selain itu, agensi penarafan itu berkata pasaran Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) bertindak balas terhadap mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) Disember yang lebih berdiplomasi terhadap polisi monetari.

 

Ia menambah bahawa di AS, data menggalakkan secara konsisten mengenai inflasi yang mereda mendorong jangkaan pemotongan kadar yang lebih tinggi.

 

Meskipun unjuran inflasi Fed untuk 2024 telah diturunkan, MARC Ratings berkata pengekalan unjuran pengangguran bagi 2024 mungkin membayangkan keyakinan yang semakin meningkat, memenuhi sasaran inflasi tanpa kehilangan pekerjaan yang ketara.

 

“Trend pengurangan kadar inflasi yang berterusan dalam ekonomi maju telah mengekalkan pemulihan pasaran susulan peningkatan pada November dalam indeks ekuiti dan bon.

 

“Selain itu, spread negatif antara MGS 10 tahun dan hasil Perbendaharaan AS telah menguncup, yang akan terus menyokong peningkatan dalam aliran dana asing ke pasaran tempatan dan peningkatan nilai ringgit,” jelasnya. - DagangNews.com