MARC Ratings kekalkan penarafan AA-IS terhadap program sukuk murabahah UEM Edgenta dengan tinjauan disemak naik kepada positif | DagangNews Skip to main content

MARC Ratings kekalkan penarafan AA-IS terhadap program sukuk murabahah UEM Edgenta dengan tinjauan disemak naik kepada positif

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 4 Jan - MARC Ratings mengekalkan penarafan AA-IS terhadap program sukuk murabahah UEM Edgenta Berhad sehingga RM1 bilion dengan tinjauan penarafan disemak naik kepada positif daripada stabil.

 

Agensi penarafan kredit itu berkata jumlah terkumpul sukuk tersebut kini sebanyak RM250 juta.

 

Menurut agensi itu, pengekalan penarafan berkenaan menggabungkan rekod prestasi UEM Edgenta yang mantap dalam menyediakan perkhidmatan sokongan penjagaan kesihatan (HSS) kepada sektor penjagaan kesihatan dan perkhidmatan penyelenggaraan kepada sektor infrastruktur.

 

Ia turut digariskan oleh profil kredit berdaya tahan kumpulan, yang dicirikan oleh leverage rendah dan kedudukan mudah tunai sihat.

 

“Tinjauan yang disemak semula itu mencerminkan kemajuan berterusan UEM Edgenta dalam mengukuhkan perniagaan utamanya, yang akan meningkatkan margin operasi dan seterusnya mengukuhkan prestasi kewangan,” katanya dalam laporan penarafan hari ini.

 

Penyediaan HSS kepada hospital kerajaan dan swasta di Malaysia membolehkan kumpulan itu terus mengembangkan operasinya ke hospital swasta di Singapura dan Taiwan melalui anak syarikat milik penuhnya yang berpangkalan di Singapura, UEMS Ltd. Pada akhir September 2023, ia memberi perkhidmatan kepada 300 hospital dengan kontrak bernilai RM2.3 bilion.

 

MARC Ratings menyatakan secara positif bahawa kontrak luar negara yang semakin meningkat telah menyebabkan penurunan sumbangan daripada kontrak kerajaan bermargin rendah kepada 54% pada akhir Jun 2023 daripada 82% pada 2018.

 

“Bagaimanapun, kumpulan itu terdedah kepada penamatan kontrak dan risiko pembaharuan, walaupun agensi penarafan melihat ini sebagai rendah berdasarkan rekod prestasi kumpulan,” tambahnya.

 

 

edgenta

 

 

Berkenaan perkhidmatan infrastruktur yang dilaksanakan melalui anak syarikatnya Edgenta PROPEL Berhad, agensi penarafan itu berkata UEM Edgenta mendapat manfaat daripada kontrak perkhidmatan penyelenggaraan induk jangka panjang bernilai RM6.3 bilion dengan syarikat berkaitan Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS) yang menyediakan aliran pendapatan terjamin sehingga 2038.

 

Agensi itu menambah bahawa kumpulan itu menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan untuk lebih 3,500km lebuh raya dan jalan raya negeri, selain telah memperoleh kontrak penyelenggaraan lebuh raya di Indonesia.

 

Kumpulan itu turut mengembangkan perkhidmatannya ke Emiriah Arab Bersatu melalui pengambilalihan 60% pegangan ekuiti dalam syarikat pengurusan hartanah tempatan, Kaizen Group, dengan harga RM55.1 juta selepas membeli 60% kepentingan dalam syarikat pengurusan kemudahan tempatan di Arab Saudi.

 

Selain itu, agensi itu berkata UEM Edgenta mempunyai pinjaman disatukan berjumlah RM508.7 juta yang agak rendah, diterjemahkan kepada nisbah hutang kepada ekuiti kasar sebanyak 0.31 kali dengan kumpulan tersebut kekal dalam kedudukan tunai bersih pada akhir September 2023.

 

Menurut MARC Ratings, kedudukan mudah tunai kekal kukuh dengan baki tunai tidak terhad sebanyak RM606 juta yang menyediakan sumber untuk membiayai keperluan perbelanjaan modal segeranya.

 

“Dalam tempoh 12 bulan akan datang, penarafan akan dinaik taraf jika UEM Edgenta secara meluas mengekalkan metrik hutangnya dan meneruskan trajektorinya untuk meningkatkan prestasi kewangannya.

 

“Sebaliknya, tinjauan penarafan akan disemak kepada stabil jika prestasi kewangan kumpulan semakin lemah daripada jangkaan,” katanya.  - DagangNews.com