MARC Ratings turunkan penarafan sukuk wakalah YNH Property ekoran kebimbangan terhadap kecairan, kelewatan penjualan aset | DagangNews Skip to main content

MARC Ratings turunkan penarafan sukuk wakalah YNH Property ekoran kebimbangan terhadap kecairan, kelewatan penjualan aset

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 18 Jan - MARC Ratings Bhd telah menurunkan penarafan sukuk wakalah YNH Property Bhd kepada BBB+IS daripada AIS dan meletakkannya di bawah MARCWatch Negative.

 

Agensi penarafan kredit itu berkata, ini adalah berikutan kebimbangan memuncak terhadap kedudukan lemah kecairan syarikat dan kelewatan penjualan aset yang menyediakan suntikan tunai yang sangat diperlukan.

 

Setakat 30 September 2023, kedudukan kecairan kumpulan seperti ditunjukkan oleh tunai dan deposit jangka pendek adalah sebanyak RM17 juta, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

MARC Ratings menambah bahawa pinjaman terlaras, termasuk RM323 juta sukuk wakalah terkumpul dan RM345.9 juta sukuk kekal, berjumlah sekitar RM1.3 bilion.

 

“Tranche pertama bernilai RM153 juta di bawah sukuk wakalah ini akan matang pada 28 Februari 2025, yang mana YNH perlu membina 4 peratus atau RM6.1 juta sebulan mulai Februari 2024 dan seterusnya,” katanya.

 

Agensi penarafan itu berpandangan bahawa cabaran yang dihadapi oleh pengurusan YNH dan pemegang saham utama mungkin telah menyumbang kepada kemajuan yang lebih perlahan daripada jangkaan dalam pengewangan aset dan kemerosotan profil perniagaan syarikat.

 

"Antara isu-isu ini adalah keperluan melantik juruaudit luar dan pengerusi jawatankuasa audit baharu kerana kedua-duanya memilih untuk tidak dilantik semula pada Disember 2023.

 

"Melantik juruaudit luar untuk mengkaji semula urus niaga terdahulu berkaitan beberapa usaha sama dan perjanjian turnkey, akan menambah baik tadbir urus," tambahnya.

 

Selain itu, MARC Ratings berkata kejatuhan harga saham YNH dalam beberapa minggu kebelakangan ini juga boleh menyebabkan tekanan kecairan bertambah ke atas pemegang saham utama.

 

MARC Ratings berkata ia telah dimaklumkan bahawa pengurusan YNH sedang menangani isu-isu ini; pengumuman berkaitan juruaudit baharu dan pelantikan lain dijangka dibuat dalam masa terdekat.

 

Dalam jangka terdekat, agensi itu menjangkakan aliran tunai YNH kekal sederhana memadangkan ia hanya mempunyai beberapa projek, terutamanya projek Solasta Dutamas yang sedang dijalankan di Mont Kiara bernilai RM770 juta merangkumi sebahagian besar nilai pembangunan kasar (GDV) syarikat.

 

Agensi penarafan itu berpendapat bahawa kedudukan kecairan yang terhad akan menghalang keupayaannya untuk melancarkan projek hartanah lain.

 

"Sekiranya pelupusan aset yang dirancang, melibatkan tanah seluas 5.1 ekar (2 hektar), pusat beli-belah 163 Retail Park di Mont Kiara dan AEON Seri Manjung di Perak, telah siap seperti yang dijadualkan, YNH akan menerima kira-kira RM590 juta," tambahnya.

 

Penempatan di bawah MARCWatch Negatif itu akan ditamatkan sekiranya YNH mencapai kemajuan yang bermakna; bagaimanapun, sekiranya prestasi terus bertambah buruk, penarafan akan tertakluk kepada penurunan taraf selanjutnya.

 

Penarafan terbaharu ini dikeluarkan selepas Bursa Malaysia Securities Bhd membekukan had bawah harga saham YNH Property kepada RM1.22 selepas ia kehilangan lebih 50% daripada nilai harga sahamnya.  - DagangNews.com