OCK Group dijangka raih manfaat daripada pertumbuhan positif pasaran Laos | DagangNews Skip to main content

OCK Group dijangka raih manfaat daripada pertumbuhan positif pasaran Laos

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Mei - Langkah OCK Group Bhd memasuki pasaran Laos dianggap sebagai usaha niaga yang baik didorong prospek pertumbuhan positif di negara itu.

 

Baru-baru ini, kumpulan itu memeterai perjanjian binadan pajakan menara selama 15 tahun dengan Best Telecom Co Ltd, pemain telekomunikasi yang dianugerahkan spektrum 5G di negara itu.

 

Kenanga Research yakin bahawa langkah itu membolehkan kumpulan itu mengembangkan portfolio menaranya di pelbagai pasaran, termasuk Malaysia di mana ia mempunyai antara 150 dan 200 menara dan Vietnam dengan sekitar 500 menara.

 

"Kami percaya terdapat risiko yang minimun kerana kami memahami bahawa Kementerian Kewangan (MOF) Laos merupakan antara pemegang saham Utama dalam Best Telecom.

 

"Kumpulan itu percaya bahawa mereka mampu meniru kejayaannya di Vietnam memandangkan terdapat persamaan antara kedua-dua pasaran," katanya dalam satu nota kajian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: OCK memasuki Laos dengan perjanjian pajakan 15 tahun menara telekomunikasi dengan Best Telecom

 

Terdahulu, kumpulan itu berkata, perjanjian dengan Best Telecom menandakan kemasukan "rasmi" kumpulan itu ke Laos, walaupun nilai perjanjian itu masih tidak didedahkan.

 

Bagi memulakan penggunaan, OCK dianugerahkan beberapa kelompok tapak yang terletak dalam kawasan metropolitan Vientiane dan beberapa bandar utama di mana kumpulan itu akan membina dan memajak menara telekomunikasi kepada Best Telecom dalam tempoh 15 tahun, menyediakan aliran pendapatan berulang jangka panjang.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pihaknya memahami bahawa jumlah tapak sebenar menara yang akan digunakan masih belum dimuktamadkan kerana ia masih berada di peringkat awal.

 

Katanya, pasa masa sama mereka perlu menajalan tinjauan tapak dan kajian kebolehlaksanaan sebelum pelancaran sebenar.

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) 80 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com