Sunview jalin kerjasama dengan Yashil Energiya teroka peluang tenaga diperbaharui di Uzbekistan | DagangNews Skip to main content

Sunview jalin kerjasama dengan Yashil Energiya teroka peluang tenaga diperbaharui di Uzbekistan

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 20 Mei - Sunview Group Bhd mengumumkan kerjasama dengan Yashil Energiya yang berpangkalan di Uzbekistan untuk meneroka peluang tenaga boleh diperbaharui dan hijau di Uzbekistan.

 

Syarikat itu, melalui unit milik penuhnya Fabulous Sunview Sdn Bhd menandatangani perjanjian strategik pakatan perniagaan dengan Yashil Energiya, sebuah syarikat yang mengkhusus dalam pemasangan peranti sumber tenaga boleh diperbaharui (RE), penghantaran tenaga elektrik yang dihasilkan oleh sumber TBB kepada pengguna dan perkhidmatan dan penyelenggaraan sumber TBB yang dipasang di Uzbekistan.

 

Di bawah perjanjian itu, Fabulous Sunview akan menjadi pelabur dan penyedia kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan untuk projek-projek itu, manakala Yashil Energiya akan bertindak sebagai pembeli untuk tenaga elektrik yang dijana daripada projek-projek tersebut.

 

Majlis memeterai perjanjian itu disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu dalam rangka lawatan rasmi ke Uzbekistan, dan Timbalan Perdana Menteri Uzbekistan Jamshid Khodjaev pada 18 Mei 2024.

 

Menurut pengarah eksekutif dan ketua pegawai eksekutif kumpulan Sunview Ong Hang Ping, perkongsian dengan Yashil Energiya tersebut menandakan satu langkah besar untuk pelan pengembangan global Sunview.

 

“Memandangkan sasaran Uzbekistan untuk menjana 40% keperluan elektriknya melalui sumber boleh diperbaharui menjelang 2030, perkongsian kami sejajar dengan matlamat kemampanan ini. Kerjasama ini membolehkan Sunview meluaskan capaian geografinya,” katanya dalam satu kenyataan.

 

“Ini juga menekankan komitmen kami untuk menyokong agenda kemampanan Uzbekistan. Saya yakin usaha bersama kami akan membuahkan hasil yang positif untuk komuniti yang kami berkhidmat dan memupuk masa depan yang lebih hijau untuk semua,” tambahnya.

 

Februari lalu, Sunview berkata ia telah bekerjasama dengan Pentadbiran Kashkadarya, Uzbekistan untuk meneroka kemungkinan membangunkan loji fotovoltaik solar 500 MWac di wilayah Kashkadarya, dengan anggaran kos keseluruhan AS$1 bilion (RM4.78 bilion).

 

Keuntungan bersih Sunview bagi suku ketiga berakhir 31 Dis 2023 (3QFY2024) turun 34.3% kepada RM1.53 juta daripada RM2.34 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya, disebabkan margin keuntungan kasar yang lebih rendah disebabkan tarif perjanjian pembelian kuasa yang kompetitif.

 

Ini menjadikan keuntungan bersih sembilan bulannya (9MFY2024) kepada RM4.96 juta, turun 32.6% daripada RM7.36 juta pada tahun sebelumnya. - DagangNews.com