Hujan ribut luar biasa akibat perubahan ekstrem iklim perlu diberi perhatian pihak berkuasa, kata pakar alam sekitar | DagangNews Skip to main content

Hujan ribut luar biasa akibat perubahan ekstrem iklim perlu diberi perhatian pihak berkuasa, kata pakar alam sekitar

Kejadian pokok tumbang yang menghempap beberapa kenderaan dihempap pokok dan menyebabkan seorang maut dan beberapa cedera di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada 7 Mei 2024. - Foto ASWADI ALIAS/ NSTP
Oleh Noor Eszereen Juferi

KUALA LUMPUR 9 Mei – Kejadian pokok tumbang sehingga mengorbankan pemandu di ibu negara baru-baru ini, perlu diberi perhatian dengan perubahan ekstrem iklim semasa yang menyebabkan kejadian hujan ribut luar biasa.

 

Pakar alam sekitar, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FHAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Zelina Zaiton Ibrahim berkata, kejadian hujan ribut ini adalah trend yang dijangka berlaku dalam satu jangka masa lama.

 

“Ini perlu diberi perhatian oleh pihak berkaitan serta pengurusan risiko adalah amat penting disesuaikan dengan keadaan semasa,” katanya.

 

 

Dr. Zelina Zaiton Ibrahim
Dr. Zelina Zaiton Ibrahim

 

 

Dr. Zelina Zaiton berkata pengurusan risiko adalah penting untuk menjangkakan setiap permasalahan yang mungkin boleh terjadi berdasarkan dengan pengalaman terdahulu dan menjangkakan insiden yang berpotensi untuk berlaku di masa depan.

 

“Dengan keadaan dunia yang cuacanya kini sudah berbeza dengan dulu, pihak berkenaan perlu memikirkan lebih jauh risiko yang berpontesi berlaku yang boleh mendatangkan bahaya kepada orang awam dan sebagainya.

 

“Dengan pengurusan risiko yang efisen insiden ini akan dapat mencegah dan minimumkan kesan negatif akibat daripada kejadian tersebut,” kata beliau.

 

Dr. Zelina Zaiton berkata, masyarakat perlu menghargai alam sekitar demi kesejahteraan perubahan iklim negara yang kini sedang mengalami keadaan panas melampau yang kini di negara ini.

 

Menurutnya, pendidikan awal mengenai kepentingan menjaga alam sekitar memainkan perananan dalam mengubah pemikiran masyarakat.

 

“Pengalaman saya ketika mengadakan lawatan kerja di Australia saya dapati di peringkat sekolah mereka telah mengubah kurikulum pengajaran dengan memberi penekanan kepada pengajian biologi (kaji hayat).

 

“Ini secara langsung telah memberi kesedaran serta minat awal kepada kanak-kanak untuk menghargai persekitaran semula jadi dan contoh ini boleh diadaptasi dan disesuaikan mengikut acuan kita,” katanya.

 

Tambah beliau, faktor pembangunan yang berlaku di bandar terutamanya turut memainkan peranan dalam memastikan mengekalkan kawasan hijau yang boleh dinikmati oleh orang awam.

 

“Tidak dinafikan pembangunan adalah keperluan negara namun mungkin perlu diipertimbangkan dengan pemilihan model pembangunan yang bersesuaian sejajar dengan budaya serta memerhatikan kesinambungan manusia dan alamnya,” katanya.

 

Dalam pada itu, Dr. Zelina Zaiton turut menyampaikan pengalaman dan hasil penyelidikan beliau di bengkel Pengenalan kepada Maklumat Sains Iklim Bagi Tindakan Iklim anjuran Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FHAS), UPM.

 

Matlamat bengkel ini adalah untuk menyokong penggunaan dan analisis maklumat sains iklim terkini ke dalam kajian dan bahaya iklim serta risikonya di peringkat negara mahu pun global. - DagangNews.com