Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 29 Dis - Malaysian Rating Corp Bhd (MARC) telah mengesahkan penarafan AA+IS nya dengan tinjauan yang stabil bagi program nota jangka sederhana Islam Sime Darby Property Bhd sebanyak RM4.5bil di bawah prinsip Syariah Musharakah.
Dalam satu kenyataan, MARC berkata kedudukan mantap Sime Darby Property sebagai pemaju perbandaran dan rekod prestasi jualannya yang kukuh dalam pembangunan hartanah domestik kekal sebagai pemacu utama penarafan berkenaan.
“Tanahnya yang besar seluas 15,199 ekar di kawasan pertumbuhan populasi utama di Lembah Klang yang menawarkan prospek pembangunan, dan kedudukan leveragenya yang rendah menyokong profil kredit kumpulan," katanya.
MARC berkata, pada separuh pertama 2021 (1H2021), Sime Darby Property telah melancarkan 20 projek domestik dengan gabungan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM1.6 bilion, menjadikan jumlah GDV projek sedang berjalan kepada RM7.5 bilion.
Daripada jumlah tersebut, Lembah Klang menyumbang 86%, dengan purata kadar pengambilan yang kukuh sebanyak 88%.
"Selain lokasi, sambutan yang baik terhadap projek Sime Darby Property adalah disebabkan oleh campuran hartanahnya dengan tumpuan kepada unit kediaman bertanah berharga dalam segmen pasaran pertengahan dengan sambungan lebuh raya yang kukuh," katanya.
Tambah firma penganalisis itu, jualan belum dibil Sime Darby Property sebanyak RM1.8bil pada akhir Jun 2021, memberikan keterlihatan pendapatan yang sihat.
Untuk 1H2021, Sime Darby Property mencatatkan peningkatan tahun ke tahun dalam hasil dan keuntungan operasi kepada RM1.1 bilion dan RM159.5 juta.
"Melangkah ke hadapan, komitmen utamanya terdiri daripada keperluan pembiayaan untuk pembangunan perindustrian dan logistik dan panggilan modal kira-kira RM663.2 juta pada akhir Jun 2021 untuk projek Stesen Janakuasa Battersea.
"SD Property telah mengekalkan fleksibiliti kewangan yang kukuh hasil daripada kemudahan pembiayaan yang tidak digunakan dan bank tanah tanpa beban yang besar," kata MARC. -DagangNews.com