MARDI jalani penyelidikan bagi kurangkan kadar import bawang  | DagangNews Skip to main content

MARDI jalani penyelidikan bagi kurangkan kadar import bawang 

Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani melaksanakan aktiviti menuai bawang merah di plot tanaman bawang MARDI.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 29 Sept - Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) giat menjalankan penyelidikan penanaman bawang bagi membantu meningkatkan pengeluaran tanaman bawang, sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan terhadap bawang merah import yang tinggi.

 

Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, pencapaian ini adalah hasil daripada kajian pengadaptasian dan penilaian pihaknya melibatkan pengumpulan bahan genetik pasaran tempatan, syarikat biji benih dan agensi penyelidikan antarabangsa serta koleksi benih sedia ada hasil kajian terdahulu.

 

"Secara umumnya, MARDI menjalankan beberapa kajian berkaitan bawang bermula 1970-an melibatkan kajian varieti bawang pada 1974, kajian potensi bawang besar di tanah alluvium/tanah bris (1993). kajian keperluan nutrien bawang merah di tanah bris (1994) dan kajian bawang merah di tanah gambut (1998).

 

"Strategi kajian yang dijalankan melibatkan pembangunan teknologi pengeluaran bawang merah ke arah peningkatan produktiviti, adaptasi tanaman di tanah rendah, pengurangan masalah perosak, penyakit dan kerosakan lepas tuai serta pengukuhan pemasaran.

 

"Ia juga melibatkan pengenalpastian/pengadaptasian varieti bawang yang tahan panas, sesuai dengan cuaca/agroiklim Malaysia serta meningkatkan kecekapan pengeluaran biji benih/bawang tempatan di negara ini," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Terdahulu, MARDI melancarkan tiga varieti bawang merah iaitu BAW-1, BAW-2 dan BAW-3 bersempena Show Tech MARDI 2023 yang dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, baru-baru ini.

 

Mohamad Zabawi berkata, tiga varieti bawang merah MARDI yang baru dilancarkan itu berpotensi untuk membuahkan hasil yang tinggi di samping mempunyai ciri-ciri dan keunikannya tersendiri.

 

 

mardi
Datuk Seri Mohamad Sabu (tengah) ketika merasmikan program Show Tech MARDI 2023, baru-baru ini.

 

 

"Varieti BAW-1 sebagai contoh mempunyai saiz di antara 25-35mm, beradaptasi di tanah mineral dan tanah bris, berwarna merah terang berbanding BAW-2 yang berwarna merah muda dan mempunyai saiz sederhana 28-32mm serta beradaptasi di tanah mineral dan gambut.

 

"Manakala BAW-3 pula berwarna merah muda, mempunyai saiz yang lebih kecil iaitu antara 18 hingga 25mm serta beradaptasi di tanah bris, tanah mineral dan tanah gambut," katanya.

 

Katanya, bebawang ini boleh mula dituai setelah 60 hingga 75 hari selepas penanaman bagi memastikan bawang-bawang yang terhasil berkualiti baik, bersaiz sempurna dan bebas penyakit.

 

Sementara itu, data dari Akaun Pembekalan dan Penggunaan Komoditi Pertanian Terpilh Malaysia (2018-2022) menunjukkan Malaysia mengimport bawang merah segar iaitu besar, kecil dan putih dari India sebanyak 62%, diikuti Belanda (15%), China (9%), Pakistan (8%), Thailand (2%), Egypt (2%) dan lain-lain negara (2%).

 

Menurut data tersebut, jumlah import bawang pada tahun 2022 bagi ketiga-tiga jenis (besar, kecil dan putih) berjumlah 685.4 Mt (RM 1,578.4 juta) , peningkatan sebanyak 9% dari 622.2 ribu Mt (RM 1,477.6 juta) pada 2021.  - DagangNews.com