Margin keuntungan Amway dijangka terkesan akibat kenaikan kadar tukaran wang asing | DagangNews Skip to main content

Margin keuntungan Amway dijangka terkesan akibat kenaikan kadar tukaran wang asing

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Mei - Kenanga Research menjangkakan Amway (M) Holdings Berhad akan berdepan tekanan untuk meningkatkan jumlah jualan serta pendapatan pada masa akan datang akibat kadar tukaran wang asing yang semakin meningkat.

 

Firma itu berkata, kenaikan kadar tukaran wang asing itu memberi kesan juga akan memberi kesan kepada margin keuntungan kerana kebanyakan barangan kumpulan itu diimport daripada ibu pejabat syarikat itu di Amerika Syarikat.

 

"Kumpulan itu bagaimanapun memberi fokus kepada usaha untuk menyimbangkan kos berkaitan insentif Amway Business Owner (ABO) kerana ia dilihat akan membantu merendahkan tekanan kepada margin keuntungan selain memperbaiki pendapatan kumpulan.

 

"Usaha menjadikan perbelanjaan kembali normal dapat dilihat dengan kenaikan margin perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBIT) kepada 6.9% daripada 0.5% pada 4QFY21," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu Amway mencatatkan untung bersih untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2022 RM20.17 juta berbanding RM20.11 juta bagi suku sama pada tahun lalu.

 

Keuntungan itu adalah disumbangkan oleh peningkatan pendapatan 10.63% kepada RM391.23 juta berbanding RM353.65 juta tahun lalu.

 

Ia disokong oleh permintaan terhadap produk penjagaan kesihatan sebelum berlakunya kenikan harga jualan selain maklum balas positif daripada promosi yang dilakukan selain peningkatan Pelanggan Amway Privileged (APC).

 

Keuntungan sebelum cukai kumpulan itu hampir tidak berubah pada RM26.66 juta berbanding RM26.75 juta pada suku yang sama sebelumnya atas insentif jualan yang hanya berlaku dalam separuh kedua tahun sebelumnya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'market perform' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah RM5.30 berbanding RM5.65 selepas mengambil kira kadar tukaran wang asing semasa. - DagangNews.com