Margin keuntungan P.I.E. Industrial diunjur lebih baik selepas panel solar siap dipasang akhir 2023 - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Margin keuntungan P.I.E. Industrial diunjur lebih baik selepas panel solar siap dipasang akhir 2023 - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Mei - Kenanga Research menjangkakan P.I.E. Industrial Berhad dapat menghasilkan margin keuntungan yang lebih baik sebaik sahaja pemasangan panel solar di lima kilangnya siap sepenuhnya menjelang akhir 2023.

 

Firma itu berkata, dalam usaha untuk mendepani kenaikan kos tenaga, kumpulan itu sudah memulakan pemasangan panel solar itu.

 

Katanya, sebaik sahaja siap, tenaga bersih yang dijana akan meliputi lebih 70% penggunaan tenaga kumpulan.

 

"Bukan sahaja dalam mengimbangi peningkatan kos sebaliknya akan meningkatkan simpanan kumpulan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, hasil 1QFY23 meningkat 24.5% didorong peningkatan jumlah pesanan yang lebih tinggi merentas pelanggannya, kedua-dua pelanggan baharu dan sedia ada.

 

Katanya, pertumbuhan kukuh daripada segmen perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) meningkat 41% lebih daripada mengimbangi penurunan dalam perniagaan wayar dan kabelnya (-23%).

 

Bagaimanapun, untung bersih teras 1QFY23 merosot 27.7% apabila kenaikan tarif elektrik berkuat kuasa, ditambah dengan perbelanjaan pentadbiran dan pengagihan yang lebih tinggi.

 

Firma itu berkata, penguncupan margin keuntungan 1QFY23 adalah terutamanya disebabkan oleh kos penyelenggaraan dan pembaikan yang lebih tinggi yang ditanggung untuk kesediaan loji dalam penyediaan pemerolehan pelanggan baharu dan peningkatan susut nilai daripada dua talian teknologi pemasangan permukaan (SMT) yang dibeli baru-baru ini.

 

"Kos elektrik yang lebih tinggi pada awal tahun ini dan peralihan dalam campuran produk dengan bahagian hasil yang lebih tinggi daripada Pelanggan N, yang menghasilkan margin yang lebih rendah, terus mempengaruhi keputusan 1QFY23," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM4.05 sesaham. - DagangNews.com